Ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih 5% bagi tiga tahun berturut-turut - Amir Hamzah

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 8:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih 5% bagi tiga tahun berturut-turut - Amir Hamzah Image from: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih 5% bagi tiga tahun berturut-turut - Amir Hamzah sarah16/11/2026 - 08:58 Gambar hiasan editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov - Ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan melebihi 5% bagi tiga tahun berturut-turut pada 2026, didorong oleh prestasi ekonomi negara yang terus kukuh, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang sebanyak 5.1% pada 2024 dan 5.2% pada 2025, manakala prestasi ekonomi tahun ini menunjukkan momentum pertumbuhan yang sama.

 

"Alhamdulillah, perkara penting ialah KDNK kita tahun ini, insya-Allah, akan melebihi 5% bagi tiga tahun berturut-turut," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

 

Menurut Amir Hamzah, anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan ekonomi negara dijangka berkembang sebanyak 5.3% pada suku ketiga 2026, dengan keputusan rasmi dijadualkan diumumkan pada 18 November ini.

 

Pertumbuhan KDNK Malaysia bagi sembilan bulan pertama 2026 setakat ini dilaporkan sebanyak 5.5%, mencerminkan daya tahan ekonomi negara dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar.

 

Pertumbuhan ekonomi perlu tingkatkan pendapatan rakyat

Amir Hamzah berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha kerajaan menerusi kerangka Ekonomi MADANI untuk meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan berkualiti kepada rakyat.

 

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi juga membolehkan kerajaan memperkukuh perlindungan sosial supaya manfaat pembangunan negara dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat.

 

Sehubungan itu, Belanjawan 2027 memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, termasuk melalui dasar gaji minimum serta menggalakkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menawarkan gaji yang lebih adil.

 

"Kita dapat melihat pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, termasuk dasar gaji minimum serta usaha melibatkan GLIC dan GLC untuk meningkatkan gaji ke paras yang bersesuaian, bertujuan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi turut dinikmati rakyat," katanya.

 

Bantuan bersasar terus diperkukuh

Pada masa sama, Amir Hamzah berkata, kerajaan menyedari bahawa tidak semua rakyat menerima manfaat secara langsung daripada pertumbuhan ekonomi, justeru bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan terus diperkukuh.

 

Beliau berkata, usaha menerusi inisiatif Payung Rahmah turut dipergiat bagi membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup.

 

"Ini merupakan usaha menyeluruh Kerajaan MADANI kerana kita bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga mahu memastikan rakyat merasai manfaat kemakmuran ekonomi negara," katanya. - Bernama

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved