Ekonomi Malaysia dijangka kekal stabil pada separuh kedua 2025 – Kenanga IB

LocalBusiness & Finance
22 Jul 2025 • 4:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ekonomi Malaysia dijangka kekal stabil pada separuh kedua 2025 – Kenanga IB

image is not available

22/07/2025 - 16:15

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai – Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus mencatat pertumbuhan stabil pada separuh kedua 2025 (2H25), didorong oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan, terutamanya selepas kerajaan memberi kelulusan penuh terhadap projek mega infrastruktur Laluan Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

Kenanga IB berkata, jangkaan itu disokong oleh anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2025 (S2 2025), yang selari dengan unjuran pihaknya dan mencerminkan pertumbuhan berterusan dalam sektor perkhidmatan, meskipun sektor perlombongan terus menguncup dan sektor pembuatan menunjukkan kelembapan.

“Namun, kelemahan berpanjangan dalam pasaran komoditi dan risiko tarif yang berterusan dijangka mengekang pertumbuhan keseluruhan.

“Justeru, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 pada 4.3%, berbanding 5.1% pada 2024,” kata Kenanga IB dalam nota penyelidikannya.

Jabatan Perangkaan Malaysia sebelum ini melaporkan ekonomi negara dijangka berkembang 4.5% pada S2 2025 berdasarkan anggaran awal KDNK, mengatasi sedikit pertumbuhan 4.4% yang direkodkan pada suku sebelumnya.

Permintaan domestik yang kukuh dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan di sebalik cabaran luaran global.

Kenanga IB turut mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport 2025 pada 3.1%, lebih rendah berbanding 5.7% pada 2024, berikutan dasar tarif yang diteruskan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta kelemahan dalam eksport komoditi.

“Meskipun ketegangan perdagangan dengan AS dilihat reda susulan perjanjian terkini, ketidaktentuan masih kekal, khususnya jika kuasa besar lain bertindak balas. Ini boleh mengganggu perdagangan global dan memberi kesan terhadap prospek pertumbuhan Malaysia,” jelasnya.

Tambah Kenanga IB, rundingan perdagangan yang masih berjalan antara Malaysia dan Amerika Syarikat menambah lagi ketidaktentuan, memandangkan kadar tarif Malaysia ketika ini masih lebih tinggi berbanding Indonesia (19%) dan Vietnam (20%).

Eksport Malaysia mencatatkan pertumbuhan 3.8% dalam separuh pertama 2025, berbanding 5.4% dalam tempoh Januari hingga Mei, sedikit melebihi unjuran tahunan Kenanga IB.

Namun, pertumbuhan eksport menyederhana kepada 3.4% pada S2 2025, berbanding 4.3% pada suku pertama.

“Prestasi lemah pada bulan Jun menunjukkan ketidaktentuan perdagangan luaran yang berterusan, dengan prospek jangka pendek masih dibayangi ketidakpastian mengenai tarif dan penghantaran komoditi, serta prestasi pratarif yang lebih lemah daripada jangkaan,” katanya.

Kenanga IB turut menjangkakan permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) kekal kukuh, disokong oleh pelancaran produk baharu dan peningkatan penggunaan teknologi 5G serta kecerdasan buatan (AI), meskipun pertumbuhan keseluruhan dijangka sederhana.

Sementara itu, CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd juga menjangkakan aktiviti ekonomi domestik akan kekal kukuh dan mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 pada 4.2%.

“Berdasarkan data KDNK dan perdagangan, kami menjangkakan penyederhanaan pertumbuhan pada S2 2025 mungkin menandakan permulaan kelembapan dalam permintaan luar,” kata firma itu.

“Separuh kedua 2025 dijangka lebih mencabar susulan risiko tarif dan ketidaktentuan luaran, terutamanya selepas semakan tarif AS sebanyak 25% terhadap eksport Malaysia.”

Namun begitu, firma tersebut melihat pelaksanaan tarif sebagai sasaran yang masih boleh berubah, memandangkan pendirian Trump yang terbuka untuk berunding, sekali gus memberi ruang sokongan tambahan kepada eksport negara.

Kata CGS lagi, pertumbuhan domestik yang disokong oleh perbelanjaan dan pelaburan dijangka terus digalakkan menerusi reformasi pasaran buruh seperti kenaikan gaji, penurunan kadar dasar semalaman (OPR) dalam persekitaran inflasi rendah, kemasukan pelancong asing yang lebih tinggi serta momentum pelaburan yang diperbaharui. - DagangNews.com

standard