Ekonomi Perak berkembang lepasi paras nasional

LocalBusiness & Finance
4 Jul 2026 • 9:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ekonomi Perak berkembang lepasi paras nasional
DR BARJOYAI
Image from: Ekonomi Perak berkembang lepasi paras nasional
Perak turut merekodkan pertumbuhan tertinggi dalam tempoh sedekad pada kadar 5.7 peratus, didorong lonjakan sektor pembuatan khususnya industri peralatan pengangkutan dan automotif.
Image from: Ekonomi Perak berkembang lepasi paras nasional

**media[3570553]**

IPOH - Perak merekodkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan sebanyak 5.7 peratus pada 2025, melepasi kadar nasional 5.2 peratus.

Laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Mengikut Negeri 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan nilai ekonomi Perak meningkat kepada RM91.5 bilion berbanding RM86.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Prestasi itu meletakkan Perak sebaris dengan Johor, Pulau Pinang dan Selangor sebagai negeri yang mencatat pertumbuhan melebihi kadar nasional, sekali gus mencerminkan momentum ekonomi yang terus kukuh.

Pertumbuhan tersebut dipacu sektor pembuatan yang melonjak 15.2 peratus berbanding 5.1 peratus pada 2024, disokong prestasi subsektor kelengkapan pengangkutan, pembuatan lain serta aktiviti pembaikan.

Sektor perkhidmatan pula berkembang 3.4 peratus, didorong peningkatan aktiviti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan serta perkhidmatan kerajaan.

**media[3570554]**

Sektor pembinaan mencatat pertumbuhan 8.1 peratus, manakala sektor pertanian berkembang 1.2 peratus dengan sumbangan 13.6 peratus kepada ekonomi negeri.

Mengulas pencapaian itu, Pakar Ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, Perak berjaya mengurus kecekapan rangkaian logistik yang dilihat lebih penting berbanding kebergantungan kepada pelabuhan atau lapangan terbang semata-mata.

Menurutnya, kedudukan strategik di Koridor Pantai Barat yang disokong rangkaian lebuh raya dan kereta api yang baik, membolehkan Perak mendapat limpahan aktiviti ekonomi dari negeri jiran iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

“Kos operasi dan tanah yang lebih kompetitif turut menjadikan Perak destinasi menarik untuk sektor pembuatan, logistik dan pusat pengedaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menambah, kepelbagaian struktur ekonomi melibatkan pembuatan, pertanian moden, perlombongan, pelancongan dan perkhidmatan menjadikan negeri itu lebih berdaya tahan terhadap kejutan luar.

**media[3570552]**

"Tidak semua perkembangan ekonomi bergantung kepada pelaburan asing semata-mata, sebaliknya syarikat tempatan yang mengembangkan operasi turut menyumbang secara signifikan kepada peningkatan KDNK Perak," katanya.

Mengulas pembangunan Perak Sejahtera 2030, beliau berkata, pelaksanaan pelan itu berada di landasan yang betul untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi kukuh.

Katanya, walaupun masih berada pada fasa pertengahan pelaksanaan, ia dilihat mula menunjukkan impak positif melalui peningkatan pelaburan, perkembangan kawasan perindustrian serta pertumbuhan sektor pelancongan.

Antara pemacu utama Perak Sejahtera 2030 termasuk pembangunan lima nod strategik iaitu Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim; Silver Valley Technology Park (SVTP) di Khantan; Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung; Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian dan Taman Perindustrian Halal Perak (Perak HIP) di Lekir.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved