Ekonomi Tak Menentu Tapi Jualan Barangan Ini Meningkat, Kenali Fenomena "Lipstick Effect"

Business & FinanceBeauty
25 Apr 2026 • 7:19 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Ekonomi Tak Menentu Tapi Jualan Barangan Ini Meningkat, Kenali Fenomena "Lipstick Effect"

Ekonomi Tak Menentu Tapi Jualan Barangan Ini Meningkat, Kenali Fenomena "Lipstick Effect"

Ekonomi dunia sebenarnya merupakan antara sektor yang paling rapuh jika berlaku perang atau wabak. Hal ini kerana, ia tidak akan beroperasi dengan baik jika berlaku sebarang gangguan terutama dalam tempoh yang lama.

Apabila keadaan ini berlaku, ia sekali gus memberi kesan kepada penduduk di seluruh dunia. Kebiasaannya, orang ramai akan diingatkan supaya berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran ketika ekonomi tidak menentu.

Namun menariknya, ada satu fenomena unik yang menunjukkan perkara sebaliknya berlaku.

Fenomena tersebut dikenali sebagai Lipstick Effect.

Apa itu Lipstick Effect?

Lipstick effect menggambarkan trend pengguna di mana orang ramai membeli barangan kecil yang dianggap mewah semasa kemelesetan ekonomi.

Antara barang yang laku dijual ialah gincu, minyak wangi dan aksesori kecantikan.

Ia mula mendapat perhatian selepas Leonard Lauder menyatakan bahawa jualan gincunya lebih tinggi berikutan kejadian serangan di World Trade Center pada September 2001.

Menurut Investopedia, fenomena itu merupakan manifestasi sesuatu yang dipanggil oleh ahli ekonomi sebagai kesan pendapatan (income effect).

Ahli ekonomi biasanya membahagikan permintaan pengguna terhadap sesuatu produk kepada gabungan dua faktor, iaitu kesan harga sesuatu barangan berbanding barangan lain, yang dikenali sebagai kesan penggantian (substitution effect) dan kesan pendapatan.

Bagi barangan biasa, apabila pendapatan pengguna meningkat, permintaan terhadap barangan tersebut juga akan meningkat.

Namun, bagi sesetengah barangan yang dikenali sebagai barangan inferior, peningkatan pendapatan pengguna sebenarnya akan mengurangkan permintaan terhadap barangan tersebut dan sebaliknya.

Image from: Ekonomi Tak Menentu Tapi Jualan Barangan Ini Meningkat, Kenali Fenomena "Lipstick Effect"
Kredit: Image FX

Elak pembelian bernilai tinggi

Inilah yang berlaku dalam kes lipstick effect. Apabila pendapatan pengguna menurun, mereka akan mengelakkan pembelian barangan mewah bernilai tinggi yang tidak lagi mampu dibeli, sebaliknya menggunakan baki pendapatan yang terhad untuk membeli barangan mewah berskala kecil.

Fenomena lipstick effect juga menjadi salah satu sebab mengapa restoran fast-casual dan pawagam sering mencatat prestasi baik ketika kemelesetan ekonomi.

Pengguna yang kekurangan wang masih mahu menggembirakan diri dengan sesuatu yang boleh membuatkan mereka melupakan masalah kewangan.

Mereka mungkin tidak mampu bercuti ke destinasi mahal, namun masih sanggup berbelanja untuk aktiviti hiburan yang lebih murah seperti keluar makan atau menonton wayang, dengan menyesuaikan bajet mereka.

Selain itu, satu lagi asas teori bagi lipstick effect ialah keadaan pasaran buruh yang menjadi lebih kompetitif semasa kemelesetan ekonomi.

Situasi ini boleh mendorong pencari kerja untuk berbelanja lebih pada barangan yang dapat meningkatkan kelebihan mereka berbanding calon lain bagi mendapatkan atau mengekalkan pekerjaan.

Salah satu caranya ialah dengan memberi lebih perhatian kepada penampilan luaran, seperti menggunakan kosmetik yang lebih baik atau berkualiti.

Image from: Ekonomi Tak Menentu Tapi Jualan Barangan Ini Meningkat, Kenali Fenomena "Lipstick Effect"
Kredit: Image FX

Bukti terbaru lipstick effect

Laporan terbaru dari Financial Times menunjukkan syarikat kosmetik terbesar dunia, L’Oréal, mencatat jualan suku tahunan terkuat dalam tempoh dua tahun, didorong oleh pemulihan pasaran di China serta fenomena lipstick effect yang meningkatkan permintaan terhadap produk kecantikan di Eropah yang sedang berdepan tekanan ekonomi.

Baca juga:

Kumpulan kosmetik terbesar dunia itu melaporkan jualan suku pertama sebanyak €12.2 bilion, meningkat 6.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu berdasarkan pelarasan setara.

Perkembangan ini membuktikan bahawa fenomena lipstick effect bukan sekadar teori, malah benar-benar berlaku dalam situasi ekonomi sebenar.

Secara keseluruhannya, fenomena lipstick effect menunjukkan bahawa walaupun ekonomi berdepan cabaran, keinginan manusia untuk menikmati kemewahan kecil tetap wujud sebagai cara untuk mengekalkan rasa puas dan keyakinan diri.

View Original Article