
Kota Kinabalu: Perkataan ‘ekor’ sangat menjatuhkan maruah masyarakat Cina dan permohonan maaf tidak akan dapat memulihkan kerosakan yang dicetuskan oleh perkataan itu kepada masyarakat Cina, kata Datuk Dr Roland Chia (gambar).
“Orang Cina bukan haiwan atau hidup rendah. Orang Cina di Sabah dan Malaysia adalah sebahagian daripada masyarakat dalam pembentukan Sabah dan Malaysia. Untuk merujuk kami sebagai ‘ekor’ adalah menjatuhkan maruah semua orang Cina Sabah dan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.
Katanya, perkataan yang dilafazkan itu mencerminkan pemikiran dan tindakan dalaman seorang pemimpin.
“Atas sebab ini, saya menggesa masyarakat Cina mengambil kira dan merenung perkara itu apabila kita membuang undi pada 19 November (esok), sama ada kita patut mengundi parti yang melabelkan kita sebagai haiwan. Ini akan menjadi sejarah bahawa seorang bekas Ketua Menteri Sabah dan bekas menteri Persekutuan menggunakan politik ekor. Kita mesti menolak politik ekor,” tegasnya.
Mohd Shafie pernah beberapa kali semasa kempennya membidas GRS dengan mengatakan bahawa “satu ekor Cina pun tiada jadi menteri” walaupun merupakan gabungan parti.
Selain merujuk kepada bahagian di belakang sekali pada tubuh binatang, “ekor” juga digunakan sebagai penjodoh bilangan untuk haiwan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
