Ekovest sasar mula bina lebuh raya dari Jalan Duta ke Sungai Besi bernilai RM2.5 bilion seawal suku pertama 2027

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 4:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ekovest sasar mula bina lebuh raya dari Jalan Duta ke Sungai Besi bernilai RM2.5 bilion seawal suku pertama 2027 Image from: Ekovest sasar mula bina lebuh raya dari Jalan Duta ke Sungai Besi bernilai RM2.5 bilion seawal suku pertama 2027 hamden17/11/2026 - 16:24 Lebuhraya Laluan Istana-Kiara dijangka mampu menyuraikan trafik yang menggunakan Jalan Istana dari Jalan Duta ke Sungai Besi. - Gambar/ Kuala Lumpur Command & Control Centre, DBKL

KUALA LUMPUR 17 Nov – Ekovest Bhd dijangka memulakan pembinaan Lebuhraya Laluan Istana-Kiara (LIKE) sepanjang 7.7 kilometer dari Jalan Duta ke Jalan Sungai Besi seawal suku pertama 2027, dengan kos pembangunan dianggarkan RM2.5 bilion.

 

Menurut laporan The Edge Weekly, projek lebuh raya bertingkat bertol itu akan menjadi konsesi keempat Ekovest selepas tiga lebuh raya di Kuala Lumpur, iaitu Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE 1), DUKE Fasa 2 (DUKE 2) dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE atau DUKE 3).

 

Pengasas dan pemegang saham pengawal Ekovest,Tan Sri Lim Kang Hoo, berkata syarikat akan menerbitkan bon bagi membiayai pembinaan LIKE.

 

Menurut beliau, projek itu dijangka mencatatkan kadar pulangan dalaman (IRR) tidak melebihi 10%, namun masih mempunyai daya maju untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi perbankan.

 

“Projek ini masih boleh dibiayai dan cukup baik untuk membolehkan bank memberikan pinjaman kepada kami,” katanya.

 

Beliau turut mengakui konsesi lebuh raya kini tidak lagi menawarkan pulangan lumayan seperti dahulu.

 

Mengenai kadar tol, Lim berkata mekanisme kenaikan tol akan disediakan sepanjang tempoh konsesi selama 54 tahun, sekali gus menunjukkan kadar tol tidak semestinya kekal pada kadar rata sepanjang tempoh berkenaan.

 

Pembiayaan projek

Dalam perkembangan berkaitan pembiayaan projek, Ekovest telah memperoleh pinjaman RM1.02 bilion daripada MBSB Bank.

 

Lim berkata syarikat juga mendapat kelulusan pemegang saham bagi pelaksanaan terbitan hak pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) baru-baru ini.

 

Dana yang diperoleh menerusi terbitan hak itu akan digunakan bagi memenuhi keperluan ekuiti untuk konsesi LIKE.

 

Pinjaman RM1.02 bilion itu diberikan kepada Ekovest Holdings Sdn Bhd (EHSB), syarikat pelaburan milik Lim yang memegang 10.05% kepentingan dalam Ekovest.

 

Pembiayaan itu membolehkan EHSB memberikan aku janji tambahan untuk mengambil saham terbitan hak yang tidak dilanggan, selain aku janji bagi melanggan saham berdasarkan kelayakannya. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved