
KUALA LUMPUR - Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024 menyasarkan nilai transaksi mencecah 60 juta ringgit sepanjang tiga hari penganjurannya.
Ekspo yang julung kali diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China itu kini sedang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sehingga esok.
Penganjuran ekspo ini menandakan satu pencapaian penting bagi hubungan perdagangan Malaysia yang semakin meningkat dengan China.
Dengan lebih daripada 200 jenama terkemuka dari China dan tempatan mempamerkan produk mereka, ekspo ini dijangka mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala dan memperluaskan peluang perniagaan di seluruh ASEAN.
Pengarah Urusan JMM Holding dan JMM Exhibition yang merupakan penganjur ekspo, Albert Chan dalam ucapan perasmiannya berkata, ekspo ini telah mencuri perhatian pempamer dari China dan Malaysia yang merangkumi pelbagai industri daripada solusi tenaga baharu, teknologi pintar, fesyen sehinggalah ke produk gaya hidup dan inovasi pintar rumah.
“Inisiatif ini mencerminkan hubungan yang semakin erat antara kedua-dua negara dan menandakan peluang kerjasama yang lebih besar dalam bulan dan tahun mendatang.
“Ini bukanlah sekadar acara untuk mempamerkan produk, tetapi merupakan sebuah platform transformasi di mana perniagaan boleh berhubung, pengguna mendapat manfaat dan juga penyemaian benih untuk pertumbuhan masa depan,” ujarnya.

Tambah beliau, penglibatan 80 peratus pempamer dari China dan 20 peratus peserta Malaysia jelas menunjukkan minat dan keyakinan yang kuat daripada syarikat-syarikat China dalam memanfaatkan Malaysia sebagai laluan masuk strategik ke ASEAN.
“Kehadiran delegasi perniagaan antarabangsa dari China dan Pakistan turut menguatkan lagi kepentingan ekspo sulung ini, sekaligus mengetengahkan peranan penting Malaysia sebagai hab berbilang budaya dan bahasa untuk perdagangan serantau di seluruh ASEAN,” katanya.
Acara ini juga bertepatan dengan pengumuman terkini China mengenai pelanjutan polisi pengecualian visa selama 30 hari untuk warganegara Malaysia, yang dijangka dapat meningkatkan lagi kerjasama merentas sempadan.
Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024 dianjurkan bersama oleh Malaysia Guangdong Chamber of Commerce (MGCC) dengan sokongan beberapa organisasi terkemuka, termasuk Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC), Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia (TEEAM) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Untuk maklumat terkini mengenai Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024, sila nantikan di laman sesawang www.jmmexhibition.com.my - Getaran, 30 November 2024


