Eksport gaharu RM11.4 juta, Malaysia mahu bina jenama wangian premium sendiri - Noraini

LocalBusiness & Finance
13 Sep 2026 • 3:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eksport gaharu RM11.4 juta, Malaysia mahu bina jenama wangian premium sendiri - Noraini Image from: Eksport gaharu RM11.4 juta, Malaysia mahu bina jenama wangian premium sendiri - Noraini johardy13/09/2026 - 15:38 Dr Noraini Ahmad menghidu minyak wangi diperbuat daripada gaharu pada program Road to the Oud and Wood Artisan Expo (OWA) with Commodities dan prapelancaran OWA 2027 di The Curve, Petaling Jaya pada 13 September 2026. - Gambar OWA Malaysia Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Sept - Malaysia mahu bergerak daripada sekadar mengeksport gaharu sebagai bahan mentah kepada menghasilkan minyak pati, wangian dan akhirnya jenama premium sendiri selepas eksport cip gaharu negara mencecah hampir 95,000 kilogram bernilai kira-kira RM11.4 juta pada 2025.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, angka eksport itu menunjukkan pasaran gaharu mempunyai ruang untuk terus berkembang, tetapi Malaysia perlu memperoleh nilai lebih tinggi daripada komoditi berkenaan.

 

“Kita mahu bergerak daripada kayu kepada minyak pati, daripada minyak pati kepada wangian, dan akhirnya kepada jenama premium yang membawa nama Malaysia,” katanya.

 

Menurut beliau, peluang dalam industri itu bukan hanya terhad kepada minyak gaharu dan minyak wangi, malah boleh diperluaskan kepada produk penjagaan diri, kraftangan, cenderamata dan pelbagai produk gaya hidup.

 

“Inilah ruang untuk usahawan tempatan memasuki rantaian nilai yang lebih tinggi,” katanya dalam ucapan penutup program Road to the Oud and Wood Artisan Expo (OWA) with Commodities dan prapelancaran OWA 2027 di The Curve di sini hari ini.

 

Lebih dua juta pokok karas

Noraini berkata, Malaysia mempunyai asas kukuh untuk membangunkan industri gaharu yang lebih tersusun dengan lebih dua juta pokok karas telah ditanam di seluruh negara.

 

Menurut beliau, pembangunan industri itu perlu merangkumi keseluruhan rantaian nilai, bermula daripada penanaman pokok karas dan penghasilan resin sehingga kepada pemprosesan, pembangunan produk dan pemasaran.

 

Gaharu yang dihasilkan daripada pokok karas mempunyai nilai tinggi kerana aroma tersendiri dan digunakan dalam penghasilan minyak pati, wangian serta pelbagai produk premium.

 

“Melalui Road to OWA, kita mahu mengubah cara masyarakat melihat gaharu. Ia bukan sekadar kayu atau bahan wangian tradisional. Di sebaliknya terdapat warisan, kemahiran, inovasi dan nilai komersial yang besar,” katanya.

 

Beliau berkata, pembangunan industri gaharu juga perlu memberi manfaat kepada semua pemain dalam rantaian nilai termasuk penanam karas, penyuling, artisan, pengilang, pemilik jenama dan pengeksport.

 

Malaysia, katanya, berpotensi menjadikan gaharu sebahagian daripada identiti negara dengan menggabungkan sumber semula jadi, kemahiran artisan, inovasi, reka bentuk dan penjenamaan.

 

Minyak gaharu Malaysia sudah digunakan jenama antarabangsa

Noraini berkata, akses kepada pasaran lebih luas penting bagi mencapai matlamat tersebut, terutama apabila minyak gaharu Malaysia sudah digunakan sebagai ramuan utama dalam wangian mewah oleh jenama antarabangsa.

 

“Ini membuktikan produk kita mempunyai kualiti untuk pergi lebih jauh. Tugas seterusnya adalah memastikan nama dan jenama Malaysia turut dikenali bersama produk-produk ini,” katanya.

 

Pada masa sama, beliau menegaskan pembangunan industri gaharu dan perkayuan perlu dilakukan secara bertanggungjawab kerana pembeli semakin memberi perhatian kepada sumber sesuatu produk dan cara ia dihasilkan.

 

Gaharu yang diperdagangkan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) perlu mempunyai dokumentasi serta permit sah, manakala penanam karas dan pemproses gaharu diwajibkan berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

 

Menurut Noraini, operasi penguatkuasaan terbaharu membabitkan MTIB bersama agensi lain telah membawa kepada rampasan gaharu bernilai RM5 juta.

 

Eksport produk kayu cecah RM9.4 bilion

Sementara itu, sektor kayu dan produk berasaskan kayu kekal sebagai penyumbang penting kepada ekonomi dengan nilai eksport mencecah RM9.4 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

 

Noraini berkata, eksport tahunan sektor berkenaan secara purata melebihi RM20 bilion, dengan industri kini berkembang kepada pengeluaran perabot, pintu, lantai, komponen pembinaan, kemasan dalaman dan produk gaya hidup.

 

Beliau berkata, kemahiran tradisional pertukangan dan ukiran kayu Malaysia juga perlu dipelihara dengan membawanya ke dalam reka bentuk moden serta menghasilkan produk yang berdaya maju secara komersial. — DagangNews.com

Terkini featured standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved