hamden16/04/2026 - 16:23 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 April - Prestasi industri halal Malaysia kekal kukuh apabila nilai eksport halal negara mencecah RM68.52 bilion pada 2025, meningkat 10.9% berbanding tahun sebelumnya.
Halal Development Corporation Bhd (HDC) berkata, pencapaian itu mencerminkan permintaan global yang berterusan terhadap produk halal Malaysia serta daya tahan industri dalam mendepani cabaran geopolitik semasa.
Menurut perbadanan itu, eksport halal menyumbang 4.3% daripada keseluruhan eksport negara, meningkat sedikit daripada 4.1% pada tahun sebelumnya.
“Prestasi ini terus dipacu oleh segmen makanan dan minuman (F&B) yang menyumbang 53.8% atau RM36.86 bilion daripada jumlah eksport halal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Segmen bahan halal pula mencatat nilai eksport RM21.39 bilion atau 31.2%, manakala eksport minyak sawit dan derivatifnya merekodkan RM4.57 bilion dengan pertumbuhan ketara sebanyak 55%.
Dari segi pasaran, China kekal sebagai destinasi eksport terbesar dengan nilai RM9 bilion, diikuti Singapura (RM7.11 bilion), Amerika Syarikat (RM4.46 bilion), Jepun (RM4.22 bilion) dan Indonesia (RM3.51 bilion).
HDC berkata kepelbagaian pasaran tersebut mengukuhkan daya tahan Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan global, termasuk gangguan rantaian bekalan dan perubahan dinamik perdagangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Interim HDC, Hanisofian Alias berkata, walaupun industri halal global kekal berdaya tahan, perkembangan geopolitik khususnya di Timur Tengah berpotensi memberi kesan tidak langsung kepada industri.
“Persekitaran semasa memerlukan pemain industri untuk lebih tangkas, memperkukuh rantaian bekalan serta mempercepat usaha kepelbagaian pasaran,” katanya.
Menurut beliau, dinamika global turut dijangka mendorong perubahan struktur dalam industri termasuk penerokaan pasaran baharu, peningkatan penggunaan teknologi digital serta tumpuan kepada segmen bernilai tinggi seperti farmaseutikal halal.
Dalam masa sama, pelaburan dalam taman halal terus menunjukkan pertumbuhan stabil, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem halal Malaysia yang disokong tadbir urus kukuh dan kredibiliti pensijilan.
HDC berkata Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan peluang dalam landskap global pasca konflik, termasuk menyokong pembinaan semula rantaian bekalan halal di pasaran terjejas.
Di peringkat domestik, agensi itu akan terus memberi fokus kepada pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kesiapsiagaan eksport serta pengukuhan ekosistem melalui platform digital seperti Halal Integrated Platform.
“Dengan asas syarikat halal yang kukuh serta pengiktirafan global yang semakin meningkat, Malaysia berada di landasan tepat untuk memperluas pengaruhnya dalam industri halal global selaras Pelan Induk Industri Halal 2030,” katanya. - DagangNews.com
