Eksport Malaysia dijangka kekal kukuh

Business & Finance
27 Jul 2026 • 8:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Eksport Malaysia dijangka kekal kukuh

PETALING JAYA: Eksport Malaysia dijangka kekal kukuh pada 2026 dengan unjuran pertumbuhan 18.9 peratus disokong permintaan tinggi ke atas produk elektrik dan elektronik (E&E).

Menurut MBSB Research, sektor perdagangan masih stabil meskipun berdepan dengan risiko gangguan rantaian bekalan, tekanan kos dan potensi peraturan dagangan yang lebih ketat khususnya dari Amerika Syarikat (AS).

Katanya, prestasi perdagangan luar negara Malaysia kekal teguh dengan jumlah dagangan pada Jun 2026 berkembang 44.7 peratus pertumbuhan dua digit bagi bulan ke-10 berturut-turut.

“Eksport naik 45.3 peratus, hampir menyamai paras tertinggi dalam empat tahun, manakala import melonjak 43.9 peratus kadar terpantas sejak Februari 2022, dipacu peningkatan pembelian produk E&E,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut MBSB Research, prestasi eksport tambahnya, terus disokong oleh eksport domestik yang berkembang sebanyak 44.6 peratus, walaupun pertumbuhan eksport semula sederhana kepada kira-kira 48.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Produk E&E kekal pemacu terbesar eksport negara dengan menyumbang 25.3 mata peratusan daripada keseluruhan pertumbuhan eksport Jun 2026, disokong permintaan kukuh daripada pasaran utama dunia,” katanya. 

Selain itu, pertumbuhan turut disumbangkan oleh produk lain, petroleum mentah dan petroleum bertapis, gas asli cecair (LNG) serta peralatan optik dan saintifik yang terus mencatat peningkatan.

“Dari segi destinasi eksport, penghantaran ke AS naik 108.6 peratus, diikuti Singapura (47.6 peratus) China (36.1 peratus), Jepun (45.9 peratus) dan Taiwan (44.7 peratus), yang mencerminkan permintaan global masih kukuh,” ujarnya.

Bagi perdagangan dengan ASEAN pula jelasnya, eksport berkembang 21.2 peratus sementara eksport ke Kesatuan Eropah (EU) terus berkembang 25.4 peratus walaupun dilihat lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.

Selain itu, MBSB Research menaikkan unjuran pertumbuhan import kepada 13 peratus bagi 2026 berbanding enam peratus pada 2025, disokong oleh pengeluaran serantau, penggunaan domestik dan aktiviti pelaburan.

“Walaupun lebihan dagangan mengecil kepada RM14.9 bilion pada Jun berikutan lonjakan import bulanan, firma tersebut percaya Malaysia akan terus mengekalkan lebihan perdagangan keseluruhan tahun ini.

“Perkembangan tersebut turut disokong kekuatan eksport E&E, LNG dan minyak sawit, sekali gus memperkukuhkan prospek sektor perdagangan luar negara,” katanya. – UTUSAN

The post Eksport Malaysia dijangka kekal kukuh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved