Ekuinas capai RM6.5 bilion pemilikan ekuiti Bumiputera pada 2022

Business & Finance
25 May 2023 • 5:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ekuinas capai RM6.5 bilion pemilikan ekuiti Bumiputera pada 2022

diyana

25/05/2023 - 17:05

KUALA LUMPUR 25 Mei - Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) telah meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera kepada RM6.5 bilion atau 1.6 kali modal yang yang dilaburkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Di samping itu, pengurusan Bumiputera dalam kalangan syarikat-syarikat portfolio meningkat 21.9% sejak penglibatan Ekuinas, manakala jumlah nilai pemegang saham meningkat kepada RM8.2 bilion atau 2.1 kali modal yang dilaburkan.

Syarikat-syarikat portfolio Ekuinas telah mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 30.2% (2021: 12.3%) manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 31.3% (2021:27.2%).

Sementara itu, prestasi Dana Ekuinas Direct (Tranche II) mencatatkan pulangan portfolio kasar (GPR) sebanyak RM716.6 juta, dan kadar pulangan dalaman kasar (IRR) 11.9% setahun, manakala Dana Ekuinas Direct (Tranche IV) mencatatkan GPR RM91.1 juta dan IRR pada 77.2%.

Dari segi pelaburan penyumberan luar, Dana Ekuinas Outsourced (Tranche I) menyaksikan peningkatan IRR sebanyak 4.1%, sementara prestasi Dana Outsourced (Tranche II) kurang memberangsangkan dengan IRR menyusut 2.7%.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata Ekuinas terus menyokong pembangunan ekonomi dengan jumlah pelaburan komited sebanyak RM4.4 bilion dan jumlah penyaluran dana sebanyak RM5.1 bilion, bersama pasukan pengurus dana penyumberan luar.

Pada akhir tahun 2022, portfolio pelaburan kumulatif Ekuinas terdiri daripada 42 syarikat, di mana 24 daripadanya adalah melalui pelaburan langsung dan 18 melalui pengurus dana penyumberan luar.

Selain itu, Ekuinas telah memperoleh pegangan kawalan dalam Xenergi Sdn Bhd sebagai pelaburan tambahan bagi syarikat portfolionya, Davex.

Ekuinas juga telah menubuhkan Dana ASAS yang bernilai RM100 juta dengan saiz transaksi antara RM10 juta hingga RM30 juta bagi setiap pelaburan, di mana Eagle Cliffe (M) Sdn. Bhd., yang memiliki rangkaian Kaisar Farmasi, menjadi pelaburan pertama di bawah dana tersebut bermula suku pertama tahun 2023.

“Kami optimistik namun akan tetap berhati-hati untuk tahun 2023 menghadapi cabaran tetapi sibuk menjelang rancangan aktiviti pelupusan beberapa aset dalam portfolio serta penyaluran pelaburan yang berterusan untuk dana-dana sedia ada.

“Dengan saluran transaksi berpotensi yang kukuh, modal mencukupi dan keyakinan terhadap keupayaan kami untuk mengenal pasti peluang terbaik, kami menjangkakan dapat melangsungkan pelaburan dengan penilaian yang realistik,” kata Syed Yasir Arafat dalam satu kenyataan hari ini. -DagangNews.com