Ekzema: Krim steroid berlebihan boleh cetus ketulan pada badan

11 Sep 2024 • 1:10 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Oleh Amirahwani Raimi

SHAH ALAM, 11 SEPT: Pesakit radang kulit atau ekzema dinasihatkan tidak menggunakan krim steroid secara berlebihan bagi mengelak kesan sampingan, kata pegawai perubatan Selcare.

Dr Emithraa Selvaraj berkata penggunaan tidak terkawal boleh menyebabkan sindrom cushing seperti bonggol atau ketulan pada badan yang mudah terkena pada bayi dan kanak-kanak.

“Sindrom cushing ini menjadikan muka sangat bulat dengan pengumpulan lemak di belakang bahu dan leher. Pesakit juga berpotensi mendapat tekanan darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

Sindrom Cushing berlaku apabila badan menghasilkan terlalu banyak hormon kortisol (hormon steroid) pada kelenjar adrenal yang terletak di atas buah pinggang.

Meskipun jarang berlaku, penyakit itu boleh menyerang individu yang mengambil ubat-ubatan mengandungi kandungan steroid tinggi untuk jangka masa lama.

Bercakap dalam program Hai Selangor terbitan SelangorTV semalam, Dr Emithraa berkata sapuan krim steroid hanya perlu menggunakan hujung jari dengan kuantiti kecil dalam tempoh tertentu.

Pada masa sama, jelasnya, ekzema tidak berjangkit termasuk melalui sentuhan, justeru orang ramai tidak perlu bimbang untuk beraktiviti bersama mereka yang menghidap penyakit itu.

“Ekzema ini lebih kepada genetik, sejarah keluarga dan sistem imunisasi. Jika bergaul atau bersentuhan dengan pesakit ekzema, ia tidak akan berjangkit,” katanya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved