
BANDAR PANAMA – Terusan Panama akan mengehadkan bilangan kapal yang melalui laluan air penting itu bermula hari ini, buat kali kedua dalam sejarah akibat kemarau disebabkan fenomena iklim El Nino.
Lima peratus perdagangan global menyeberangi Terusan Panama yang menghubungkan Lautan Pasifik dengan Lautan Atlantik.
Terusan Panama bersedia mengurangkan trafik harian daripada 36 kepada 32 kapal dalam usaha menjimatkan air di berikutan kemarau teruk yang dijangka berlarutan hingga pertengahan 2027.
Pihak berkuasa terusan turut mengurangkan draf kapal yang dibenarkan iaitu seberapa dalam kapal tenggelam di dalam air, daripada 15.24 meter kepada 14.63 meter.
Panama telah pun mengisytiharkan darurat akibat El Nino.
Pentadbiran baharu terusan itu, Ilya Espino de Marotta mengakui keadaan mencabar yang dihadapi ketika ini.
Terusan sepanjang 80 kilometer itu bergantung pada air tawar yang kebanyakannya datang daripada air hujan dan disimpan di dalam tasik buatan.
Tanpa air, pintu air yang menaikkan dan menurunkan kapal pada permulaan dan penghujung perjalanan tidak akan dapat berfungsi.
Setiap kapal yang melakukan transit memerlukan kira-kira 200 juta liter air, yang kemudiannya dialirkan ke laut.
“Air merupakan sumber paling penting untuk operasi terusan ini tetapi antara April hingga Ogos lalu, taburan hujan terkumpul adalah 35.8 peratus di bawah purata dalam sejarah,” kata pengurus air terusan, Erick Cordoba kepada AFP.
Menurutnya, tiada tanda menunjukkan keadaan akan pulih dalam masa terdekat. – AFP
The post El Nino jejaskan Terusan Panama appeared first on Kosmo Digital.




