El Nino: Jepun berdepan risiko haba melampau dan kualiti beras terjejas

WorldEnvironment
11 Jul 2026 • 11:43 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

El Nino: Jepun berdepan risiko haba melampau dan kualiti beras terjejas

TOKYO, 11 JULAI: El Nino muncul buat kali pertama dalam tempoh dua tahun dan dikhuatiri akan menjadi "El Nino super" atau El Nino luar biasa, yang akan meningkatkan risiko haba melampau di Jepun walaupun corak kebiasaannya dikaitkan dengan musim panas yang lebih sejuk, lapor Kyodo News.

Pakar memberi amaran kepanasan seperti itu boleh menjejaskan kualiti beras Jepun sekali lagi tahun ini, seperti yang berlaku semasa El Nino 2023-2024.

Petani sudah beralih kepada varieti tahan panas selepas kerosakan tanaman akibat haba pada 2023 mencetuskan kekurangan dan membawa kepada lonjakan harga.

Yoshihiro Tachibana, seorang profesor meteorologi di Universiti Mie, berkata El Nino sebelum ini menyaksikan purata suhu permukaan laut bulanan meningkat sebanyak 2.3 darjah Celcius, dan beliau mengaitkan haba musim panas itu dengan kemerosotan kualiti beras.

Di Matsuyama, petani padi Koji Nishimoto, 42, tahun ini beralih kepada varieti tahan panas "Niji no Kirameki."

Beliau berrkata, "Saya bimbang tentang panas yang melampau, tetapi tiada apa yang boleh saya lakukan mengenainya. Petani di sekeliling saya juga beralih."

Ryota Kaji, ketua kumpulan pembiakan padi di Pertubuhan Penyelidikan Pertanian dan Makanan Kebangsaan, yang membangunkan varieti itu, berkata, "Ia meluas lebih daripada yang dijangkakan. Ini mungkin bermakna ramai pengeluar sedang bergelut dengan kepanasan yang melampau."

Tachibana juga memberi amaran mengenai kesan (panas) ke atas tanaman selain padi dan perikanan, dengan berkata, "Adalah penting untuk menyedari pemanasan yang dicetuskan oleh cuaca yang tidak normal. Sambil mengekalkan gaya hidup yang disesuaikan dengan hujan lebat dan panas melampau, kita perlu mengubah tindakan kita, seperti berusaha untuk mengurangkan karbon dioksida."

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved