
KOTA BHARU – Nelayan di kawasan pantai dan pengusaha akuakultur merupakan antara golongan yang berdepan tekanan susulan fenomena El Nino yang mencatatkan suhu melebihi 40 darjah Celsius.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata, peningkatan suhu dijangka menjejaskan hasil tangkapan nelayan pantai apabila ikan bergerak ke tengah laut.
Katanya, nelayan pula hanya dibenarkan menangkap ikan dalam lingkungan lima batu nautika.
“Sektor akuakultur darat turut terkesan apabila penternak perlu menanggung kos tambahan bagi menyediakan kanvas dan kolam ternakan untuk menghadapi cuaca panas melampau.
“Persiapan awal perlu dilakukan bagi mengurangkan kesan fenomena itu terhadap sektor pertanian dan memastikan maklumat mengenai langkah persediaan disampaikan kepada rakyat khususnya golongan petani,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, perkara yang diberi penekanan antaranya keperluan peruntukan bagi membantu nelayan pantai dan sektor akuakultur menghadapi kemungkinan kesan fenomena El Nino.
Katanya, El Nino akan memberi kesan utama kepada sektor pertanian berbanding sektor lain.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, kesN fenomena Super El Nino dijangka menyebabkan cuaca sangat panas antara Mac hingga Mei tahun depan, sekali gus berpotensi memecahkan rekod suhu tertinggi negara 40.1 darjah Celsius.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, suhu maksimum negara berpotensi melebihi 41 darjah Celsius berdasarkan analisis terhadap fenomena El Nino sangat kuat ketika ini, selain kesan perubahan iklim dan pemanasan global. – KOSMO! ONLINE
The post El Nino: Nelayan, penternak ikan berdepan tekanan appeared first on Kosmo Online.



