Elak isu 3R antara inti pati draf MoU peruntukan pembangkang - Fadillah

Politics
14 May 2024 • 3:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Datuk Seri Fadillah Yusof

PUTRAJAYA - Draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang antara lain memfokuskan kepada usaha memastikan kestabilan negara dan mengelakkan perpecahan terutamanya berkaitan isu 3R (raja, agama dan kaum).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perincian draf berkenaan sedang dimuktamadkan dan akan diserahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi semua parti politik kerajaan serta pembangkang untuk diluluskan.

"Kita masih memperincikan (draf) tetapi gambaran (MoU) sudah saya berikan apa kandungannya iaitu pertama, untuk fokus supaya semua Ahli Parlimen melihat bagaimana untuk membangunkan dan memulihkan ekonomi negara.

"....(kedua) untuk memastikan kestabilan supaya kita dapat menarik seramai mungkin pelancong dan mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan perpecahan, 3R dan sebagainya," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara, di sini pada Selasa.

Pada 18 April lepas, Fadillah dilaporkan berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Sehubungan itu, satu draf MoU akan dirangka serta dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.

Pada 25 April lepas, Fadillah berkata draf tersebut masih dirangka dan akan diserahkan kepada pembangkang dalam masa terdekat dan inti pati draf tersebut antaranya memberi tumpuan kepada persefahaman menggerakkan pembangunan negara, fokus kepada ekonomi dan kebajikan rakyat. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!