Elak ucapan kebencian, pupuk hormat antara kaum – Anthony

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 10:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anthony

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia perlu mengelakkan ucapan kebencian serta terus memupuk semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setiap individu perlu melihat antara satu sama lain sebagai sesama manusia tanpa mengira latar belakang, agama mahupun perbezaan yang wujud.

"Kita mesti mengelakkan ucapan kebencian, melayan antara satu sama lain sebagai manusia.

"Kita tidak memilih bangsa kita dan kita dilahirkan sedemikian. Jadi tidak kira apa latar belakang atau perbezaan, kita perlu melayan orang lain sebagai tanpa perbezaan," katanya dalam program 'Table for Unity: Ramadan in Diversity' yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

Program anjuran Komuniti Mualaf Baharu (NMC) menerusi Al Khaadem mendapat kerjasama Sinar Harian, Sinar Daily dan Karya Bestari itu menjadi platform perbincangan mengenai perpaduan serta nilai kebangsaan bersama.

Turut dijemput sebagai panelis ialah Presiden dan Pengasas Al-Khaadem, Datuk Dr Hussain Yee.

Dalam pada itu Anthony menegaskan, masyarakat juga perlu sentiasa memupuk semangat saling menghormati terhadap perbezaan yang wujud dalam masyarakat.

Malah ujar beliau, perbezaan nilai, agama dan amalan tidak seharusnya menjadi faktor memecah-belahkan rakyat, sebaliknya diraikan sebagai kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara.

"Banyak persamaan dalam masyarakat boleh diraikan bersama. Ia boleh menjadi asas kepada perpaduan yang kukuh.

"Malah dalam kehidupan seharian, sebenarnya banyak kisah perpaduan yang berlaku di sekeliling namun 'tenggelam' akibat kebisingan di media sosial termasuk beberapa kes atau insiden terpencil yang menenggelamkan kisah perpaduan negara," jelasnya.

Sehubungan itu beliau berkata, usaha untuk memupuk perpaduan perlu diperkukuh dengan menonjolkan lebih banyak kisah positif kepada masyarakat.

"Saya fikir apa yang perlu kita lakukan ialah meraikan lebih banyak perpaduan dan menceritakan lebih banyak kisah positif kepada masyarakat," katanya.