Elaun bulanan guru Tadika Islam Pulau Pinang naik RM400, ditawar lanjut pengajian secara percuma

LocalPolitics
15 Jun 2025 • 12:16 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Seramai 40 guru dan 21 pembantu Tadika Islam Pulau Pinang (Tadis) menerima berita menggembirakan apabila elaun bulanan mereka dinaikkan bermula bulan ini.

Guru Tadis kini menerima RM1,400 sebulan selepas kenaikan RM400, manakala pembantu tadika pula menerima RM1,000 sebulan dengan kenaikan RM200.

image is not available

Elaun bulanan guru Tadika Islam Pulau Pinang naik RM400

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), berkata kenaikan itu membabitkan guru yang mengajar seramai 874 murid di seluruh negeri.

Pula“Kenaikan ini antara hasil penjenamaan semula Tadika Islam Mutiara Madani (TIMM) yang diluluskan dalam Mesyuarat MAINPP dengan sasaran mewujudkan 30 lagi tadika berkenaan tahun ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

image is not available

Mohamad turut menjelaskan bahawa MAINPP memperuntukkan sebanyak RM10,736,800 bagi tempoh lima tahun bermula 2025 hingga 2029 untuk memperkasa pendidikan prasekolah Islam di negeri itu.

“MAINPP juga menzahirkan komitmen memperkasakan tadika Islam di Pulau Pinang dengan meluluskan penjenamaan semula Tadis yang wujud sejak 1998,” jelasnya.

image is not available

Lebih menarik, guru Tadis turut ditawarkan peluang melanjutkan pengajian secara percuma di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (Kitab) Pulau Pinang.

“Sebanyak lima tempat ditawarkan kepada guru Tadis bagi setiap semester untuk mereka mengikuti Diploma Pengajian Islam dengan dibiayai MAINPP bagi fasa pertama bermula kemasukan Julai, seperti yang ditawarkan kepada guru Kelas al Quran dan Fardu Ain (Kafa) negeri ini,” katanya.

Mohamad berkata inisiatif tersebut adalah antara pelan tindakan Teras Pembangunan Pendidikan di bawah Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030.