
SEBERANG PERAI – Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan pegawai masjid di negeri ini bakal menerima peningkatan elaun mulai bulan hadapan susulan kutipan zakat yang semakin kukuh.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, kadar elaun guru KAFA dinaikkan RM200 sebulan, menjadikan ketua guru menerima RM1,800, manakala guru biasa sebanyak RM1,700 sebulan.
Katanya, semakan itu juga menjadikan kadar elaun guru KAFA setara dengan gaji minimum, selain mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan golongan berkenaan.
“Usaha meningkatkan kadar elaun setaraf dengan gaji minimum ini juga secara tidak langsung mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan guru KAFA di Pulau Pinang,” katanya selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Guru Kafa, Pegawai Masjid dan Siak Tahun 2026 di Seberang Jaya di sini, hari ini.
Mohamad berkata, kenaikan itu adalah yang kedua selepas kadar elaun sama dinaikkan pada 1 Julai 2025, dengan tambahan peruntukan RM3.96 juta daripada sumber zakat menjadikan keseluruhan komitmen tahunan bagi elaun guru KAFA sebanyak RM11.19 juta.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, elaun imam, bilal dan siak lantikan kerajaan negeri turut disemak mulai Oktober ini membabitkan tambahan peruntukan sebanyak RM1.76 juta setahun.
Katanya, elaun imam masjid pengurusan dinaikkan RM400 kepada RM1,000 sebulan, manakala bilal dan siak pula masing-masing menerima tambahan RM300 kepada RM800.- KOSMO! ONLINE.
The post Elaun guru KAFA di Pulau Pinang naik RM200 appeared first on Kosmo Online.






