Elemen tradisional video Merdeka karya Nurul Liyana bangkitkan nilai-nilai patriotisme

25 Sep 2023 • 1:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Elemen tradisional video Merdeka karya Nurul Liyana bangkitkan nilai-nilai patriotisme

zulfadli

25/09/2023 - 13:18

SHAH ALAM 25 Sept - "Dalam video ini kami menampilkan elemen pakaian tradisional, makanan utama kaum Melayu, Cina dan India dan permainan batu seremban supaya kita dapat membangkitkan semula nilai patriotisme kepada generasi baharu."

Begitulah kata-kata Nurul Liyana Abdul Ghafar yang tidak menyangka diumumkan sebagai juara peraduan video kreatif anjuran DagangNews bersempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2023, baru-baru ini.

Nurul Liyana, 26, yang merupakan seorang pegawai khidmat pelanggan berasal dari Ampang berkata, dia bersama empat rakannya, Malinda Ramali, 30, Noor Lizawati Sikh Maidin, 39, Nur Aisyah binti Anuar, 30, dan Nurul Aiedah Mohamad Iskandar, 37, gemar mengisi masa lapang menyertai apa-apa pertandingan berkaitan penghasilan video.

Bermula sekadar suka-suka dan kemudian menjadi hobi, mereka menyertai peraduan ini selepas bergiat aktif mencari maklumat pertandingan video di laman Google.

Katanya, mereka berasa terkejut diumumkan sebagai pemenang utama pertandingan tersebut, kerana segala persiapan meliputi idea menghasilkan video tersebut dilaksanakan pada saat-saat akhir.

"Semasa menghasilkan sesuatu video, saya gemar memilih lagu terlebih dahulu, supaya kena dengan jiwa. Kami berbincang idea apa akan diterapkan yang mana pertandingan video bertemakan kemerdekaan ini biasanya mengenai perpaduan pelbagai kaum," katanya ketika ditemui DagangNews di sini, hari ini.

image is not available
Nurul Liyana Abdul Ghafar ketika ditemubual di ibu pejabat DagangNews di Shah Alam, Selangor pada 25 September 2023.

Terdahulu, Editor Media Baharu DagangNews, Mohammad Naim Firdaus Abdul Aziz menyampaikan hadiah kemenangan berupa wang tunai RM500 berserta sijil penyertaan kepada Nurul Liyana.

Nurul Liyana yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, dia mula berjinak-jinak dalam penghasilan video menggunakan telefon pintar sejak tiga tahun lalu.

"Pada awalnya penghasilan dan suntingan video ini disebabkan minat. Lama-kelamaan ia sudah menjadi hobi untuk menghasilkan dan memuat naik video di aplikasi TikTok.

"Segala ilmu dan kemahiran saya mempelajarinya sendiri menerusi aplikasi yang boleh dimuat naik dari telefon pintar sahaja," katanya.

Tambahnya, mereka kini semakin bersemangat dan menyasarkan untuk menyertai lebih banyak pertandingan seumpama ini pada masa akan datang.

image is not available

LINK VIDEO TIKTOK PEMENANG: https://vt.tiktok.com/ZSNJRH37d/

Sementara itu, Mohammad Naim berkata, penghasilan video itu mempunyai jalan cerita yang jelas dan mudah difahami penonton.

"Walaupun mereka amatur, tetapi kualiti penghasilan video seperti drama pendek setaraf dengan iklan komersial. Elemen seperti pakaian, makanan dan permainan tradisional itu membantu menguatkan visual video yang dihasilkan sekali gus menjadi pilihan juri memenangi peraduan ini," katanya

Pertandingan bertemakan Kemampanan, Keyakinan, Kesejahteraan, Hormat, Daya Cipta dan Ihsan ini terbuka kepada warga Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa dalam melahirkan individu yang memiliki idea dan daya kreatif sendiri.


Untuk menyertai pertandingan itu, orang ramai yang berminat perlu 'Like', 'Follow' akaun media sosial DagangNews seperti Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok.

Pemenang ditentukan di atas 70% penilaian berdasarkan kandungan dan jumlah SUKA (LIKE) serta TONTONAN (view) dan 30% Juri hakim pihak penganjur. - DagangNews.com