Elio Pengembaraan ke Angkasa Lepas

Movie
30 Jun 2025 • 10:00 AM MYT
Rasfan Abu Bakar
Rasfan Abu Bakar

Penulis merupakan pensyarah seni visual di ASWARA

image is not available
Foto: IMDb https://www.imdb.com/title/tt4900148/mediaviewer/rm1176538626/?ref_=tt_ov_i

Filem animasi Elio mengisahkan tentang seorang kanak-kanak lelaki yang menyimpan impian untuk melarikan diri dari kehidupan bumi ke angkasa lepas. Perkara ini berlaku kerana dia merasakan bahawa kehidupanya tidak mempunyai apa-apa makna dan percaya ada kehidupan lain di luar sana. Justeru itu dia mula membuat pelbagai perkara agar makhluk asing datang menculiknya.

Pada suatu hari, Elio secara tidak sengaja telah memancarkan satu signal ke angkasa lepas. Tanpa diduga isyarat tersebut telah diterima oleh satu bangsa asing yang dikenali sebagai Communiverse. Komuniti Communiverse merupakan sebuah majlis tamadun antara planet-planet di angkasa lepas. Pihak ini menganggap Elio sebagai seorang wakil rasmi bagi pihak Bumi. Justeru itu dia telah diterima untuk berada didalam komuniti tersebut.

Pada masa sama pihak Communiverse sedang berbicara dengan Lord Grigon, seorang panglima perang yang sangat ditakuti. Lord Grigon ingin manjadi salah satu ahli dalam komuniti Communiverse tetapi permohonan tersebut telah ditolak. Justeru itu Lord Grigon mengancam untuk mengambil alih Communiverse secara paksa. Bagi meredakan keadaan, Elio telah menawarkan diri untuk berunding bagi menyelesaikan pertikaian tersebut.

Image from: Elio Pengembaraan ke Angkasa Lepas
Foto: IMDb https://www.imdb.com/title/tt4900148/mediaviewer/rm1361098754/
Image from: Elio Pengembaraan ke Angkasa Lepas
Foto: IMDb https://www.imdb.com/title/tt4900148/mediaviewer/rm2421471746/

Ketika Elio cuba untuk berunding dengan Lord Grigon, situasi menjadi tegang dan dia telah ditangkap dan dipenjarakan. Setelah dipenjara, Elio mencari jalan untuk melarikan diri dan kemudianya bertemu pula dengan anak lelaki Lord Grigon, iaitu Glordon. Elio mendapat idea dan memutuskan untuk menggunakan Glordon sebagai tebusan bagi memaksa Lord Grigon dan angkatan perangnya untuk meninggalkan planet Communiverse.

Seperti biasa studio Pixar sekali lagi berjaya menunjukkan penguasaannya dalam mencipta dunia yang mengasyikkan dengan persona reka bentuk watak yang unik. Kreativiti visual dipadankan dengan rona warna terang dan gerakan bentuk bendalir lutsinar begitu memukau terutamanya dalam adegan yang melibatkan graviti sifar serta makhluk asing. Latar bunyi dan skor muzik oleh Thomas Newman juga turut meningkatkan lagi keajaiban dan misteri menjadikan filem ini seronok untuk ditonton.

Pelakon Yonas Kibreab turut berjaya mempersembahkan suara yang sangat baik sebagai Elio. Intonasi suaranya berjaya menyingkap rasa sedih, jenaka dan perasaan ingin tahu naluri seorang budak lelaki. America Ferrera pula berperanan sebagai Olga iaitu makcik kepada watak Elio turut berjaya menambat emosi kepada cerita melalui gambarannya sebagai seorang ibu yang penyayang tetapi sibuk untuk mengimbangi pekerjaannya dan kehidupan hariannya.

Kesimpulannya Elio adalah sebuah filem animasi yang indah dan penuh emosi terutamanya buat anak lelaki yang sedang membesar. Lakonan suara yang mantap, visual menakjubkan disertakan mesej positif pasti memberikan inspirasi buat sesiapa sahaja yang menontonnya.

Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA). rasfan@aswara.edu.my


Rasfan Abu Bakar (rasfan@aswara.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.