Ella Bawa Kyoji Yamamoto, Pukau Hampir 5 Ribu Peminat Setia

EntertainmentMusic
19 May 2025 • 7:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Konsert Ulang Tahun Ke-30 Ella USA yang berlangsung di Arena Of Stars, pada Sabtu lalu sekali lagi mengukir sejarah manis buat Ratu Rock, Ella. 

image is not available

Kali ini, Ella berjaya menerbangkan pemain gitar legenda Jepun, Kyoji Yamamoto untuk bersama-sama mengiringinyadi atas pentas. Kyoji bukan sahaja bertindak sebagai pemain gitar untuk album Ella USA, tetapi dia juga merupakan salah seorang penerbit untuk album itu. 

Yamamoto naik ke pentas setelah Ella selesai membuka tirai konsert dengan lagu ‘Ala Amerika’ dan ‘Itulah Saya’. Sebelum muncul, Ella sempat berkongsi cerita tentang sejarah perkenalan mereka. Jelas Ella, Yamamoto banyak memberi pengaruh terhadap perkembangan kerjaya seninya.

image is not available

"Saya dan Yamamoto sudah saling mengenali iaitu sejak 1992. Waktu itu, saya, Yamamoto dan kumpulannya mengadakan jelajah ke Osaka, Tokyo dan beberapa kota lain di Jepun untuk promosi album 30110.

“Dia juga terlibat dengan pembikinan album Ella USA. Baru tiba pagi tadi dari Hawaii, singgah ke Tokyo dan terus ke sini untuk anda!,” ujar Ella dalam nada teruja. 

image is not available

Yamamoto mengiringi persembahan Ella untuk lapan lagu yang dimuatkan dalam album Ella USA iaitu Esok Lusa Selamanya, Aku Kau Dia, Rindu, Penawar, Menanti, Nuri, P.P.P (Permata Pemotong Permata) dan Gemilang.

Konsert lebih dua jam itu dilengkapkan dengan seleksi lagu-lagu ‘berhantu’ yang menjadi siulan peminat iaitu Layar Impian, Pengemis Cinta, Sembilu, Pedih, Retak, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Permata Biru, Kitalah Bintang dan Standing in The Eyes of The World.

image is not available

Hati peminat turut dijentik dengan video yang menyingkap detik-detik manis di sebalik pembikinan album ‘ikonik’ ini. 

Seperti konsert-konsert terdahulu, Ella sekali lagi tampil cemerlang di Arena Of Stars. Usia bukanlah penghalang Ratu Rock ini memberikan satu persembahan yang cukup bertenaga. Pentas berjaya ditakluki pada setiap sudut. 

Seperti biasa, Ella juga berjaya mencuit hati peminat setiap kali dia menyapa dan berkongsi cerita. Ella adalah Ella. Tidak pernah berubah perwatakkannya. Dulu, kini dan mungkin selamanya!

image is not available

Sementara itu, Genting Malaysia Berhad, di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan ‘Genting Bersama Malaysia’, telah mengedarkan tiket percuma kepada para guru dan anggota bomba serta pasukan penyelamat di kawasan sekitar Bentong dan Goh Tong sempena meraikan sambutan Hari Guru dan Hari Bomba Sedunia.

“Kami amat teruja dan berbesar hati diberikan peluang memperingati dua hari istimewa dalam bulan Mei ini dengan membalas jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.

“Kami berharap mereka akan mendapat pengalaman yang penuh makna dan tidak dapat dilupakan bersama keluarga,” ulas Naib Presiden Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam, Resorts World Genting, Spencer Lee.

image is not available

‘Genting Bersama Malaysia’ adalah manifestasi komitmen jangka masa panjang syarikat Genting Malaysia dalam menyumbang kepada masyarakat melalui program komuniti dan inisiatif CSR, yang diharap akan memberi impak yang positif. 

Inisiatif ini bukan sahaja mengiktiraf peranan penting wira-wira negara, tetapi turut menegaskan usaha Genting Malaysia dalam usaha menyemarakkan semangat komuniti dan kelestarian bersama. - Getaran, 19 Mei 2025

Foto : Resorts World Genting

View Original Article