Ella kembali menghangatkan industri hiburan tanah air dengan pengumuman konsert terbaharunya, ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’, yang bakal berlangsung pada 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Konsert mega ini bukan sahaja menandakan kemunculan semula Ratu Rock negara di pentas gergasi yang pernah menjadi saksi detik penting kerjayanya, tetapi turut membawa misi kemanusiaan dan pengisian yang jauh lebih besar daripada sebuah persembahan biasa.
Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan syarikat miliknya sendiri, Rockqueen, konsert ini dirancang sebagai projek berskala besar yang meraikan perjalanan seni Ella sambil menyatukan peminat dan masyarakat Malaysia dari pelbagai latar.
Apa yang menjadikan konsert ini lebih istimewa ialah keputusan penganjur untuk menawarkan harga tiket yang murah dan mampu milik, menjadikannya antara konsert mega paling ‘mesra peminat’ di negara ini.
‘Majlis Tertinggi Rockqueen’ dirancang sebagai sebuah konsert untuk rakyat, membolehkan lebih ramai peminat daripada pelbagai latar belakang untuk hadir sama-sama meraikan karya dan perjuangan Ella.
Menurut Ella, pemilihan nama Majlis Tertinggi Rockqueen bukan sekadar simbolik literal dan gelaran umumnya sebagai ratu rock, tetapi juga sebagai satu wadah untuk memberi impak yang lebih bermakna.
“Saya akan mencapai usia 60 pada tahun 2026, dan sudah tentu saya ingin memberi impak dan legasi berkekalan khususnya dalam aspek kemanusiaan. ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’ adalah terjemahan kepada sebuah gerakan mengangkat tema ‘Peace, Love & Rindu’.
“‘Peace’ melambangkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Gaza, ‘Love’ pula memberi fokus kepada isu buli merujuk yang berlaku di institusi pendidikan di Malaysia, manakala ‘Rindu’ didedikasi kepada insan-insan penggiat seni tanah air yang sentiasa berkarya demi industri,” ujar Ella.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group Rohit Rampal berkata, pihaknya mahu memberi kembali kepada masyarakat dengan menyediakan peluang kepada semua lapisan peminat untuk menikmati pengalaman audio visual berkualiti tinggi tanpa perlu membayar harga yang terlalu tinggi.
Bukan sahaja harga tiket direndahkan agar lebih ramai dapat hadir, malah setiap pembelian tiket turut menyumbang kepada tabung amal yang dipilih peminat.

Ketika membeli tiket, peminat boleh mengundi sama ada ingin menyumbang kepada Peace (Persatuan Cinta Gaza Malaysia), Love (Yayasan Kebajikan Negara) atau Rindu (Yayasan Kebajikan Artis Tanahair), dan setiap undian akan menghasilkan sumbangan RM2 kepada organisasi berkaitan.
Ella mengakui, kembali membuat persembahan di pentas sebesar Stadium Nasional Bukit Jalil adalah satu cabaran besar memandangkan sudah lama beliau tidak tampil di lokasi megah sebegitu. Namun, dia mahu menyahut cabaran.
“Harapan saya cuma agar, konsert ini mampu memberi sumbangan sebaiknya kepada pertubuhan amal yang terlibat. Manakala generasi muda kelak akan lahir cemerlang dan berjaya, manakala para seniman mampu terus berkarya dan terbela.
"Jangan lupa undi ‘Peace, Love atau Rindu’, dan jumpa di Majlis Tertinggi Rockqueen nanti!” katanya.

Konsert istimewa ini direalisasikan dengan sokongan Perbadanan Stadium Malaysia sebagai lokasi rasmi.
Tiket-tiket akan mula dijual pada Isnin, 8 Disember 2025 di www.hitmanlive.com dengan harga serendah RM39, manakala tiket-tiket VIP dan VVIP hanya berharga RM399 dan RM499. - Getaran, 5 Disember 2025
