
Elon Musk Boleh Beli TikTok AS Kalau Dia Nak – Trump
Amerika Syarikat – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membuka peluang kepada bilionair dan pemilik platform media sosial X, Elon Musk untuk membeli aplikasi TikTok di negara tersebut, lapor AFP.
“Saya akan beri kalau dia nak beli TikTok,” ujarnya.
Terdahulu, undang-undang AS mengarahkan TikTok untuk melepaskan hak pemilikan dari ByteDance atau diharamkan di sana.
Larangan tersebut dikemukakan atas dakwaan kebimbangan terhadap pengeksploitasian aplikasi tersebut oleh kerajaan China bagi mengintip rakyat AS. Malah, Trump turut berpandangan aplikasi tersebut bakal mempengaruhi pendapat awam AS secara senyap menerusi pengumpulan data dan pemanipulasian kandungan.
Sejurus memegang jawatan sebagai Presiden, Trump mengarahkan penangguhan pelaksanaan undang-undang yang mengharamkan TikTok pada Ahad. Ia merupakan tempoh terpendek pelaksanaan pengharaman media sosial di AS, iaitu sehari sebelum beliau memulakan penggal keduanya.
Perintah eksekutif tersebut mengarahkan peguam negara menunda pelaksanaan undang-undang itu selama 75 hari.
Sebagai salah satu cara ‘menyelamatkan’ operasi TikTok di AS, Trump mengemukakan cadangan perkongsian 50-50 antara AS dan ByteDance. Namun setakat ini, tiada butiran lanjut mengenai perkara tersebut.
Halangan mengakses TikTok di AS lewat Sabtu lalu menimbulkan kekecewaan dalam kalangan jutaan penggunanya di sana. Dengan persetujuan tidak bertulis bersama Oracle, TikTok memulihkan perkhidmatan di AS pada Ahad dengan memberi kredit kepada Trump sebagai usaha komitmen beliau ‘menyelamatkan’ aplikasi tersebut.
Biarpun TikTok telah dipulihkan, namun Apple dan Google masih tidak menyediakan aplikasi tersebut dalam gedung aplikasi mereka. Berikutan itu, pengguna baharu tidak boleh memuat turun TikTok, termasuk mereka yang ingin mengemas kini aplikasi itu.
Tindakan ini susulan undang-undang yang masih berkuat kuasa secara rasmi. Syarikat yang didapati melanggar undang-undang tersebut bakal berdepan denda sehingga USD5,000 bagi setiap pengguna jika aplikasi tersebut diakses.
Ketika ditanya, Trump mengakui telefon bimbitnya tidak mempunyai aplikasi TikTok.
“Tidak, tetapi saya rasa saya akan muat turut sekarang,” ujarnya.
Bertentangan dengan suara di pihak AS, terdapat laporan bahawa TikTok menafikan operasi syarikat tersebut di AS dalam pertimbangan untuk dijual kepada Musk.
Sumber: AFP
The post Elon Musk Boleh Beli TikTok AS Kalau Dia Nak – Trump appeared first on Siakap Keli.



