Elon Musk Manusia Pertama Mempunyai Kekayaan $500 Bilion

WorldTechnology
2 Oct 2025 • 10:09 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Elon Musk menjadi organisma berasaskan karbon dan primat yang mempunyai nilai kekayaan $500 bilion (~RM 2.1 trilion). Harta duniawi beliau mencecah angka setengah trilion beberapa jam lalu selepas saham Tesla melonjak lebih 3% walaupun jualan EV syarikat tersebut terus susut di Eropah dan China serta Amerika Syarikat menamatkan kredit pembelian EV semalam.

image is not available

Musk kini di trajektori positif untuk menjadi trilionwan pertama dengan lembaga pengarah Tesla ingin memberikan beliau lebih banyak pegangan saham dan ganjaran $1 trilion dalam tempoh 10 tahun sekiranya kekal sebagai CEO syarikat. Status beliau sebagai manusia terkaya dunia hanya dicabar selama beberapa jam oleh Larry Ellison, pengasas Oracle tiga minggu lalu.

Hala tuju Tesla sejak setahun ini sudah berubah dengan Musk mengatakan ia bukan lagi syarikat automotif tetapi adalah syarikat robotik serta kecerdasan buatan. Persaingan sengit daripada BYD menyebabkan jualan EV Tesla semakin terjejas.

Perkhidmatan teksi robot pula masih di skala kecil sementara robot Optimus masih belum dipasarkan secara komersial dengan Musk meramalkan jutaan akan dijual bagi keperluan pengilangan serta menjadi pembantu manusia di masa hadapan.