Elon Musk pertimbang gabung Tesla, SpaceX

TechnologyBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 2:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Elon Musk pertimbang gabung Tesla, SpaceX

NEW YORK: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk mengesahkan beliau sedang mempertimbangkan secara serius cadangan untuk menggabungkan kedua-dua syarikat gergasi miliknya itu.

Meskipun menegaskan penggabungan tersebut belum muktamad dan memerlukan kelulusan pemegang saham, Musk memberitahu, jawatankuasa khas di kedua-dua syarikat sudah dibentuk bagi meneliti langkah berkenaan.

“Adakah saya fikir ia satu idea yang baik? Ya. Jawatankuasa khas belum mencapai persetujuan mengenai syarat sebarang urus niaga dan tiada jaminan ia akan dimuktamadkan.

“Namun, saya percaya ada banyak kebaikan dan keuntungan yang boleh diperoleh daripada penggabungan ini,” tambah Musk. 

Dengan nilai pasaran Tesla dianggarkan sekitar AS$1.5 trilion (RM6.1 trilion) dan SpaceX sebanyak AS$2 trilion (RM8.1 trilion), penggabungan kedua-dua entiti ini bakal mencatatkan sejarah sebagai antara urus niaga penggabungan terbesar dalam sejarah korporat dunia.

Susulan pengumuman itu, saham SpaceX melonjak lapan peratus dalam dagangan selepas waktu pejabat.

Syarikat yang membina roket angkasa lepas dan satelit internet Starlink itu kini mula memperluaskan perniagaannya dengan menawarkan perkhidmatan pemprosesan awan kepada syarikat teknologi lain seperti Anthropic dan Google.

Sektor perniagaan baharu itu menjadi segmen paling menguntungkan buat SpaceX apabila menyumbang pendapatan sebanyak AS$7.5 bilion (RM30.6 bilion) mengikut keputusan suku tahunan terbaharu, manakala Starlink pula mencatatkan perolehan AS$5.2 bilion (RM21.2 bilion).

Bagaimanapun, secara keseluruhannya SpaceX masih belum mencatatkan keuntungan bersih dan mecatat kerugian sebanyak AS$1.1 bilion (RM4.4 bilion) setakat tahun ini.

Dalam pada itu, saham Tesla meningkat dua peratus selepas mencatatkan sedikit penurunan sejak beberapa minggu lalu.

Sejak tahun lalu, Musk dilihat semakin agresif menyatukan pelbagai syarikat miliknya di bawah payung yang sama. Sebelum disenaraikan di bursa saham awal tahun ini, SpaceX mengambil alih xAI serta platform media sosial X.-AGENSI

The post Elon Musk pertimbang gabung Tesla, SpaceX appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved