IPOH - Seorang bekas lans koperal polis ditemui mati dalam keadaan terbaring di dalam sebuah kereta di tepi laluan Jalan Lee Kwee Foh berhampiran padang Taman Cannin di sini pagi tadi.
Mohd Safize A Azizi, 34, ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian penumpang hadapan kereta jenis Perodua Alza dengan enjin kereta dimatikan kira-kira jam 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika ditemui terdapat kesan darah pada hidung mangsa yang berasal dari Ulu Kinta.
"Tiada kesan luka atau lebam lain ditemui pada tubuh badan mangsa yang hanya berseluar pendek paras lutut ketika ditemui.
"Pemeriksaan dalam kereta kemudiannya menjumpai barang-barang peribadi tersimpan dalam sebuah beg iaitu kad pengenalan, kad kuasa dan wang tunai," katanya.
A Asmadi berkata, semakan dibuat mendapati mangsa ditamatkan perkhidmatan dalam pasukan polis tiga tahun lalu dengan perkhidmatan terakhir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kubu Baru, Selangor.
Beliau berkata, kali terakhir mangsa bertemu ahli keluarga pada Jumaat lalu di kediaman keluarganya dan semakan pada kenderaan terbabit mendapati ia milik kakak mangsa yang bekerja di Sarawak.
"Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis akan menunggu laporan bedah siasat untuk tindakan selanjutnya," katanya.


