
PELAKON veteran Eman Manan, menerima kurniaan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu yang membawa gelaran Datuk.
Berita berkenaan dikongsikan laman sosial Butik Khat Terengganu yang mengucapkan tahniah buat aktor yang berasal dari Kuala Terengganu itu.
"Setinggi-tinggi tahniah buat seniman tersohor tanah air, Datuk Eman Manan atas pengurniaan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) sempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
"Dari pentas dan layar, beliau telah meninggalkan warna tersendiri dalam dunia seni lakonan tanah air. Versatil, berkarakter dan sentiasa hadir dengan gaya serta jiwa lakonan yang sukar ditiru.
"Pengurniaan ini bukan sekadar sebuah gelaran, tetapi menjadi penghargaan atas perjalanan panjang seorang anak seni yang telah mencurahkan bakat, tenaga dan dedikasi dalam mewarnai dunia seni tanah air.

"Tahniah. Semoga terus berkarya, terus menginspirasi dan terus menjadi antara nama besar yang akan dikenang dalam lembaran seni tanah air.
"Sebuah penghormatan yang cukup bermakna buat seorang seniman yang punya kelas dan identiti tersendiri," kongsinya.
Eman atau nama penuhnya Abdul Manan Embong, 68, bukan calang-calang dalam dunia seni lakon tanah air.
Pelakon yang terlatih dalam seni persilatan ini telah tiga kali dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia pada tahun 1984, 1992 dan 2004.
Kerjaya lakonannya bermula pada usia 26 tahun pada 1984 menerusi filem Matinya Seorang Patriot
Antara filem lakonanya yang lain adalah Tsu Feh Sofiah, Bintang Malam, Buai Laju-Laju, Lenjan dan Femina.






