
Emir Kuwait, Sheikh Nawaf al-Ahmad Dilapor Mangkat Pada Usia 86 Tahun
Emir Kuwait, Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah mangkat pada usia 86 tahun, lapor AFP.
Pemergian pemerintah Kuwait, negara yang terkenal dengan kekayaan hasil minyak itu diumumkan oleh Mahkamah Diraja pada sebentar tadi.
“Dengan penuh rasa duka dan sedih…kami memaklumkan kemangkatan Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah, Emir Negara Kuwait,” kata kenyataan yang disiarkan di televisyen negara tersebut.
Difahamkan, siaran rancangan televisyen di negara itu telah beralih ke siaran bacaan Al-Quran sebelum pengumuman itu dibuat.
Menurut AFP yang memetik laporan agensi berita KUNA, Sheikh Nawaf dimasukkan ke hospital pada November lalu kerana mengalami masalah kesihatan.
Keadaan baginda bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas itu.
Sheikh Nawaf dinamaan sebagai Putera Mahkota pada 2006 oleh abang tirinya, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah. Beliau menggalas jawatan Emir selepas Sheikh Sabah meninggal dunia pada September 2020 pada usia 91 tahun.
Baginda memerintah negara Kuwait dengan jayanya walaupun mengalami krisis ekonomi yang disebabkan oleh kejatuhan harga minyak pada 2020.
Dilahirkan pada 1937, Sheikh Nawaf adalah anak kelima kepada almarhum pemerintah Kuwait Sheikh Ahmad al-Jaber Al-Sabah yang memerintah dari 1921 hingga 1950.
Beliau memulakan kerjaya politiknya pada usia 25 tahun sebagai gabenor wilayah Hawalli sehingga tahun 1978.
Selepas kemangkatan baginda, perhatian kini tertumpu kepada Puter Mahkota semasa, iaitu Sheikh Mishal al-Ahmad Al-Sabah. Baginda merupakan saudara tiri Sheikh Nawaf yang berusia 83 tahun.
Kuwait adalah sebuah negara konservatif di mana kuasa berdaulat kekal tertumpu di tangan keluarga pemerintah Al Sabah. Negara itu adalah rumah kepada parlimen paling aktif dan berkuasa dalam kalangan negara-negara Teluk.
Bagaimanapun, perselisihan berterusan antara ahli parlimen yang dipilih dengan menteri kabinet yang dilantik oleh keluarga Al Sabah sedikit sebanyak merencatkan pembangunan negara berkenaan. Setakat ini, Kuwait sudah pun bertukar Kabinet sebanyak lima kali dalam tempoh setahun.
Politik yang tidak stabil itu juga telah menyebabkan beberapa pembaharuan yang diperlukan oleh negara itu tertangguh. Ia juga telah menyebabkan banyak projek pembangunan dan infrastruktur serta pendidikan tidak dapat dijalankan.
Malah, para pelabur juga melahirkan kebimbangan untuk membuat pelaburan.
Sumber: AFP
The post Emir Kuwait, Sheikh Nawaf al-Ahmad Dilapor Mangkat Pada Usia 86 Tahun appeared first on Siakap Keli.

