Emma Watson Dan Bintang Gandingan “Harry Potter” Dilarang Memandu Oleh Mahkamah Sama

LocalCars
17 Jul 2025 • 8:16 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Emma Watson Dan Bintang Gandingan Harry Potter Dilarang Memandu Oleh Mahkamah Sama

LONDON (Bernama) – Pelakon Emma Watson dan bintang gandingan dalam filem “Harry Potter” telah dilarang daripada memandu oleh mahkamah yang sama, lapor PA Media/dpa.

Watson, yang memegang watak “Hermione Granger” dalam francais filem itu, didapati memandu kereta Audi berwarna biru pada kelajuan 61 kilometer sejam di kawasan had laju 48 km/j di Oxford, pada petang 31 Julai tahun lepas.

Pelakon berusia 35 tahun itu, yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Oxford, dikenakan larangan memandu selama enam bulan dan diperintah membayar denda berjumlah £1,044 (US$1,399) oleh Mahkamah Majistret High Wycombe pada Rabu.

Peguam Watson, Mark Haslam memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya adalah seorang pelajar.

“Beliau mampu membayar denda,” katanya.

Secara berasingan, Zoe Wanamaker yang membintangi “Harry Potter And The Philosopher’s Stone” pada 2001 sebagai guru “Madam Hooch”, turut didapati memandu melebihi had laju pada 7 Ogos 2024 di lebuh raya M4 di Newbury, Berkshire.

Pelakon berusia 76 tahun itu memandu kereta Volvo biru pada kelajuan 74 km/j di kawasan had laju 64 km/j, menurut mahkamah.

Beliau turut dikenakan denda £1,044 (US$1,399) dan larangan memandu selama enam bulan.

Peguam Wanamaker, Duncan Jones, berkata anak guamnya tidak memohon sebarang “layanan istimewa” dan menerima hukuman yang dikenakan.

Bagaimanapun, kedua-dua pelakon itu tidak hadir ke prosiding pendengaran mereka yang singkat.

Sumber: Bernama