
Emosi Kalah Judi, Lelaki Tergamak Patahkan Tangan Anak Tiri
Seorang lelaki di Indonesia berjaya ditahan selepas dipercayai mendera anak tirinya yang berusia dua tahun sehingga mengalami patah tulang dan sesak nafas.
Menurut Tribun News, peristiwa tragis itu berlaku ketika ibu mangsa keluar seketika ke pasar untuk membeli barang dapur, pada 23 Disember lepas.
Ketua Polis Daerah Padang Pariaman, AKBP Ahmad Faisol Amir berkata, suspek dipercayai beremosi selepas kalah bermain judi dalam talian, sehingga bertindak di luar kawalan.
“Ibu mangsa pergi ke pasar dan meninggalkan anaknya yang baru bangun tidur bersama suspek.
“Semasa ditinggalkan, suspek yang kalah dalam permainan judi dalam talian dipercayai menjadi marah apabila mendengar tangisan anak tirinya,” kata Ahmad Faisol.
Lelaki bakal menghadapi hukuman berat
Akibat gagal menahan sabar, suspek dikatakan bertindak memijak paha kiri mangsa sebanyak enam kali.
Dia kemudian menekup mulut serta memukul dada kanak-kanak malang itu berulang-kali supaya mangsa berhenti menangis.
Tambah Ahmad Faisol, tindakan tersebut menyebabkan mangsa mengalami keretakan tulang di paha kiri dan mengalami lebam di bahagian dada.
Beliau menegaskan, suspek yang sudah ditahan berkemungkinan bakal berdepan dengan hukuman yang berat di atas perbuatannya.
Mangsa kini sedang dirawat di sebuah hospital tempatan
Dalam pada itu, ibu mangsa memberitahu bahawa anaknya ditemui berada dalam keadaan kritikal sewaktu dia pulang dari pasar.
“Nafasnya (mangsa) tercungap-cungap, wajahnya seperti sedang menahan sakit dan kakinya kelihatan seperti hancur,” kata ibu mangsa.
Curiga dengan kelakuan suaminya yang berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku, wanita itu kemudian bergegas membawa anak ke Hospital Universiti Andalas (RS Unand) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Sebaik tiba di hospital, kakitangan perubatan bergegas memeriksan kanak-kanak tersebut dan menemui kesan patah serta lebam pada badannya.
Difahamkan, kanak-kanak tersebut masih ditahan di wad untuk menerima rawatan lanjut.
The post Emosi Kalah Judi, Lelaki Tergamak Patahkan Tulang Anak Tiri appeared first on Siakap Keli.

