
DUNGUN – “Jangan ambil nyawaku dahulu, Ya Allah. Ambillah nyawa anakku sebelum ajalku kerana aku tidak tahu nasib anakku jika nyawaku diambil sebelumnya.
Demikian doa yang kerap dititip seorang bapa tunggal, Jumahir Mahsun, 57, yang menjaga anak orang kurang upaya (OKU) terlantar sendirian selepas kehilangan isteri akibat penyakit saraf pada tiga tahun lalu.
Selain itu, tiga daripada lima anak Jumahir turut meninggal dunia akibat penyakit sama secara berturut-turut tidak lama kemudian.
Jumahir berkata, Ahmad Zainuddin, 22, yang merupakan anak keempat daripada lima beradik tidak mampu menguruskan diri dan hanya mampu menggerakkan dua tangannya.
“Sebelum ini, tiga anak saya yang sudah meninggal juga tidak mampu urus diri sejak lahir.
“Isteri saya, Rohayati Abdullah pula mengidap penyakit saraf selepas melahirkan anak bongsu kami pada tahun 2011,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kerteh 6, di sini semalam.
Jumahir berkata, isterinya meninggal dunia pada Februari 2023 diikuti anak kedua, Ahmad Arifin (25 Julai 2023); anak sulung, Ahmad Arif Aiman (8 April 2024) dan anak bongsu, Ahmad Budiman (28 Disember 2024).
Katanya, hanya anak ketiga, Nor Hanisa, 25, membesar normal dan baru memulakan pekerjaan di ibu negara setelah menamatkan pengajian di universiti.
“Selagi hayat dikandung badan, saya akan jaga Ahmad Zainuddin sebaiknya.
“Sebab saya sering berharap, ajalnya dahulu sebelum saya. Bukan tidak sayang, tapi tidak dapat dibayangkan nasibnya jika saya pergi dahulu,”
katanya.
Jumahir juga sering berdoa agar dipanjangkan umur dan dikurnia kesihatan agar dapat menjaga Ahmad Zainuddin hingga ke akhir hayat.
Orang ramai ingin hulurkan sumbangan boleh dibuat di akaun Ahmad Zainuddin bernombor 11117-41-00003620-4 (Bank Simpanan Nasional).
The post Empat anak semua sakit, tiga sudah meninggal dunia appeared first on Kosmo Digital.
