SHAH ALAM - Empat anak bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin akan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 April depan.
Mereka ialah Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin serta Muhammed Amin Zainuddin.
Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, setakat ini pihak peguam memberikan jaminan bahawa kesemua individu terbabit akan hadir ke pejabat SPRM pada 6 April ini bagi tujuan memberikan keterangan.
"Sehubungan itu, SPRM mengambil maklum jaminan itu dan mengharapkan komitmen ini dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak yang terlibat.
"SPRM memberi ruang kepada semua pihak untuk hadir dan sekiranya mana-mana individu gagal hadir seperti yang dijanjikan, tindakan lanjut akan dipertimbangkan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya pada Selasa.
Pada 27 Februari lalu, dalam satu kenyaatan SPRM memaklumkan telah mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Daim susulan kegagalan memberi maklum balas serta tidak mematuhi dua notis rasmi yang diserahkan sebelum ini.
Siasatan Op Godfather dijalankan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
SPRM juga menjelaskan Notis Kesan Individu yang dikeluarkan pihaknya terhadap empat individu itu bukan satu bentuk hukuman atau senarai dikehendaki.
Sebaliknya kata SPRM, ia merupakan mekanisme prosedural bagi mengesan dan memastikan kehadiran individu untuk membantu siasatan.


