
SEBERANG PERAI – Kira-kira 200 etnik Rohingya yang menetap di perkampungan nelayan Kuala Muda, Penaga, Seberang Perai Utara dipercayai dipindahkan dari kawasan itu mulai petang semalam.
Mereka terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa termasuk warga emas, remaja, kanak-kanak dan bayi dibawa dengan menggunakan empat buah bas persiaran bermula pada pukul 5 petang hingga 10 malam tadi.
Kosmo! difahamkan, urusan membawa keluar kesemua mereka yang dipercayai menyewa di 33 buah kediaman dilaksanakan pihak berkuasa, Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) Kota Kuala Muda, Penaga dengan kerjasama kariah di kawasan berkenaan.
Ketua Aktivis Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus), Sophian Mohd. Zain berkata, pihaknya turut berada di lokasi ketika operasi memindahkan kesemua komuniti Rohingya semalam.
“Kumpulan pertama dibawa keluar petang semalam dengan menggunakan sebuah bas, manakala selebihnya dibawa malam tadi dengan menaiki tiga lagi bas.
“Proses membawa mereka berjalan dengan lancar dan tenang. Tiada sebarang provokasi daripada penduduk setempat.
“Kesemua mereka dipercayai sudah lama menyewa di kawasan perumahan nelayan di Kuala Muda. Mereka tinggal berkeluarga dan majoritinya bekerja sebagai nelayan dan berniaga,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.
Menurut Sophian, kehadiran komuniti Rohingya di kawasan itu dikatakan menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk tempatan terutama nelayan pantai.
“Kuala Muda merupakan penempatan yang terletak di kawasan luar bandar dan dipercayai dijadikan perkampungan nelayan Rohingya sejak hampir 20 tahun lalu.
“Hasil maklumat masyarakat tempatan mendapati kehadiran warga asing itu memberi kesan kepada penempatan penduduk, aktiviti sosial, pekerjaan, pendapatan nelayan dan hasil laut,” katanya.
Terdahulu, tular video dan gambar memaparkan kehadiran beberapa bas persiaran dipercayai ketika proses membawa keluar warga asing terbabit dari lokasi berkenaan ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur.
Kelmarin, media melaporkan pemegang kad UNHCR yang sah atau individu berdaftar di bawah Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) tertakluk kepada undang-undang Malaysia dan boleh dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, pemegang dokumen tersebut tidak kebal daripada undang-undang termasuk bagi kesalahan jenayah dan kesalahan lain yang tidak berkaitan imigresen.
Pada 23 Julai lalu, kerajaan mengarahkan UNHCR untuk menghentikan sebarang pendaftaran pelarian ketika ini bagi membolehkan proses menyusun semula program DPP.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, arahan tersebut dibuat selepas keputusan Kabinet dan pada masa ini, terdapat tiga penyelesaian jangka panjang bagi pelarian berkenaan.-KOSMO! ONLINE
The post Empat bas angkut Rohingya Penaga ke KL appeared first on Kosmo Digital.





