
EMPAT ahli parlimen (MP) yang keluar Bersatu tidak melompat parti kerana mereka bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Sambil mengekalkan bahawa status mereka sebagai Ahli Parlimen tidak boleh dipertikaikan, Timbalan Pengerusi GRS dan Ahli Parlimen Keningau itu menambah bahawa “surat watikah” pelantikan mereka sebagai calon adalah daripada GRS, bukan Bersatu. Empat Ahli Parlimen itu ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Memetik bagaimana keempat-empat mereka menjadi ahli GRS pada 27 Oktober, beliau berkata ini bermakna mereka tidak lagi menjadi ahli Bersatu kerana fasal dalam perlembagaan Bersatu menyatakan bahawa keahlian seseorang akan ditamatkan serta-merta jika mereka menyertai parti lain.
“Ini bermakna ahli-ahli Parlimen ini adalah ahli GRS pada hari penamaan calon, bukan ahli Bersatu. Oleh itu, tidak ada isu (melanggar undang-undang anti-lompat). Undang-undang anti-lompat hanya berkuat kuasa jika ahli Parlimen yang dipilih atas (tiket) parti meninggalkan parti lain,” katanya di Dewan Rakyat semasa membahaskan usul percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Jeffrey juga berkata GRS tidak lagi boleh “diheret ke sana sini” oleh pemimpin parti politik yang berpangkalan di semenanjung (kerana) ia kini adalah “100 peratus parti Sabah”.
“Kami mahu menentukan nasib kami sendiri dan akan menyokong mana-mana pihak dan Perdana Menteri yang akan memberi perhatian kepada isu dan hak rakyat Sabah dan Sarawak.”
Terdahulu, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) menggesa undi percaya ditangguhkan selama 21 hari bagi membolehkan status empat ahli Parlimen itu diteliti mengikut undang-undang anti lompat.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

