
KUALA LUMPUR – Empat beranak ditahan secara berasingan selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran baru-baru ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, pelbagai jenis dadah telah dirampas oleh pihaknya yang dianggarkan sebanyak RM328,385.
“Pada serbuan pertama, kami menahan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah unit kondominium di Jalan Kuching kira-kira jam 1.45 pagi.
“Kami merampas 400 biji pil erimin 5, 140 biji ekstasi dan 5.9 gram ketamin selain merampas wang tunai berjumlah RM2,057 dipercayai hasil penjualan dadah,”maklumnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Sinar Harian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.
Tambah Eng Lai, pihak polis kemudian melakukan serbuan di kawasan letak kereta di kondominium sekitar jam 4.30 petang menerusi hasil soal siasat kedua-kedua suspek.
“Kami menahan seorang lelaki berusia 47 tahun dan anak perempuan tirinya berusia 18 tahun dan pemeriksaan ke atas sebuah kereta, kami merampas 11,000 pil erimin 5, 200 pil ekstasi dan 250 gram ketamin.
“Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM7,000 dan hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah,” ujar Eng Lai.
Jelasnya lagi, pada jam 6.30 petang pula, serbuan ketiga dijalankan di sebuah rumah di Taman Perdana Kepong.
“Kami menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dan seorang wanita berusia 38 tahun yang juga isteri dan anak tiri suspek.
“Kami turut merampas 200 gram ketamin dan 90 gram methylnedioxymethamphetamine (MDMA). Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM40,000 yang dipercayai hasil jualan dadah,” maklumnya.
Menerusi siasatan awal, dipercayai suspek lelaki dan wanita yang ditahan dalam serbuan pertama mendapat bekalan daripada empat beranak terbabit, kata Eng Lai.
“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Rabu hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Sumber: Sinar Harian
The post Empat Beranak Ditahan Disyaki Edar Dadah appeared first on Siakap Keli.
