
TAWAU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau menembak mati empat buaya dalam Operasi Pemutihan Buaya di Sungai Udin, Kalabakan, dekat sini, yang diadakan dari 18 hingga 20 Okt.
Salah seekor buaya itu, yang ditembak mati di Kg Pangkalan Asli, Merotai, berukuran 17 kaki 9 inci dan seberat 390 kilogram (kg). Ia ditembak sekitar jam 7 malam Khamis.
Menurut pejabat JHL Tawau, buaya pertama ditembak mati berukuran 7 kaki 5 inci seberat 60kg, buaya kedua (12 kaki 7 inci, 250kg) dan buaya ketiga (11 kaki 2 inci, 190kg).
Kesemua empat reptilia tersebut ditangkap dalam tempoh 48 jam selepas pancing buaya yang dipasang pihak JHL disambar oleh buaya-buaya terbabit.
“Ops Pemutihan Buaya di Sg Udin dijalankan oleh pasukan JHL empat-anggota yang mula memasang pancing buaya pada malam 19 Okt (Ahad).
“Pada Selasa (21 Okt) dua buaya tersangkut pancing, masing-masing pada jam 5 petang dan 6.40 petang.
“Pada Khamis (23 Okt), dua lagi buaya tersangkut pancing masing-masing pada jam 4.40 petang dan 7 malam,” menurutnya.
Menurut jabatan lagi, keempat-empat reptilia yang ditangkap itu kemudiannya ditembak mati.
Kaedah terbabit dianggap lebih selamat berbanding melepaskan tembakan ke ara buaya yang berenang secara bebas.
Dengan menggunakan kaedah itu, pihak JHL dapat mengambil bangkai buaya yang ditembak dan mengambil ukuran saiznya serta menentukan jantina buaya yang dibunuh.

