Empat Individu Meninggal Dunia Selepas Hadir Konsert Dipercayai Ambil Dadah

LocalEntertainment
2 Jan 2025 • 9:17 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Empat Individu Meninggal Dunia Selepas Hadir Konsert Dipercayai Ambil Dadah

KUALA LUMPUR, 2 Januari (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu laporan analisis toksikologi berkaitan kes kematian empat individu selepas menghadiri konsert di Bandar Sunway, Subang Jaya, pada 31 Disember.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kematian kesemua mangsa dipercayai mempunyai kaitan dengan pengambilan dadah.

Beliau berkata ini berikutan tujuh mangsa termasuk empat yang meninggal dunia itu menunjukkan simptom yang sama.

“Sehingga kini terdapat enam laporan polis daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur yang memaklumkan kedua-dua hospital itu menerima tujuh pesakit yang menunjukkan simptom sama.

“Seperti dilaporkan sebelum ini empat daripada mereka meninggal dunia, dua mangsa masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala seorang lagi dibenarkan keluar hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh mangsa hadir secara berasingan dengan rakan dan ahli keluarga masing-masing.

Polis telah membuka empat kertas siasatan mati mengejut (SDR) untuk mengenal pasti sebarang unsur jenayah atau keracunan.

Seramai enam saksi telah dirakam percakapan dan beberapa pihak lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan termasuk pihak penganjur konsert serta rakan-rakan mangsa.

Pada masa sama, beliau memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau balai polis berhampiran.

Semalam, media melaporkan empat individu iaitu masing-masing dua lelaki dan dua wanita warga tempatan lingkungan usia 20 hingga 40 tahun maut selepas menghadiri satu konsert tahun baharu yang diadakan di Bandar Sunway.

Hussein dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati tiada sebarang kecederaan luaran.

Sumber: Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved