KOTA KINABALU - Empat kawasan di Sabah mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat 6 petang ini, dengan Kota Kinabalu merekodkan bacaan tertinggi iaitu 154.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata Kimanis turut mencatatkan bacaan IPU 152, diikuti Keningau 103 dan Tawau 102, manakala Sandakan kekal pada tahap sederhana dengan bacaan 81
Beliau berkata berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah serta hasil rondaan pencegahan pembakaran terbuka hari ini, tiada kejadian kebakaran besar dikesan atau dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau.
Katanya, berikutan keadaan cuaca panas dan kering, JAS mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Nor Rashidah berkata sebanyak 474 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dilaksanakan setakat ini, dengan rondaan hari ini meliputi Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau, khususnya di kawasan sensitif serta lokasi berhampiran stesen pengawasan kualiti udara.
JAS Sabah turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta sentiasa memantau bacaan IPU terkini menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS.
Di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, individu yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta sekiranya bacaan IPU mencecah 200. - Bernama





