Empat keldai akaun termasuk warga emas ditahan

19 Apr 2023 • 5:21 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BALIK PULAU: Polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga emas dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM47,006, semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataan hari ini memaklumkan empat lelaki berusia 25 hingga 68 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Barat Daya.

“Berdasarkan siasatan mereka disyaki menjadi keldai akaun oleh sindiket dalam penipuan iaitu menyamar sebagai pegawai Touch N Go, pinjaman wang tidak wujud melalui dalam talian dan pelaburan Forex Torque Market LTD.

“Jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah RM300 sehingga RM47,006 membabitkan kes yang dilaporkan pada tahun 2021, 2022 dan 2023,“ menurut kenyataan itu.

Semua mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama