Empat kontraktor kemuka dokumen palsu didenda

6 Dec 2022 • 4:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Empat kontraktor, termasuk suami isteri, didenda di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau di sini, pada Isnin selepas mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin sekolah di Semporna pada 2017.

Pengurus syarikat Pemborong Asmah, Masri Nulhadi, 45, dan isterinya, Asmah Moong, 42, yang juga pemilik Syarikat Pemborong Asmah masing-masing didenda RM24,000 iaitu RM8,000 bagi setiap tiga pertuduhan terhadap mereka.

Masri melakukan kesalahan itu di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna pada 27 Oktober 2017 dengan menggunakan penyata bank palsu bertarikh 30 Jun, 31 Julai dan 31 Ogos 2017 bagi tujuan mendapatkan Sebutharga Menyewa dan Menguruskan Kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Gelam-Gelam Semporna untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2019.

Asmah pula pada 27 Oktober 2017 di PPD Semporna sebagai pemilik syarikat didakwa bersubahat dengan Masri menggunakan penyata bank palsu bertarikh 30 Jun, 31 Julai dan 31 Ogos 2017 bagi tujuan yang sama.

Dua lagi kontraktor iaitu Darwin Mohd Kembal, 32, dan Mohd Nasir Muhammad, 34, masing-masing didenda RM30,000 iaitu RM10,000 bagi setiap tiga pertuduhan yang dihadapi mereka atas kesalahan.

Darwin melakukan kesalahan tersebut pada 24 Oktober 2017 di PPD Semporna dengan mengemukakan penyata bank palsu untuk mendapatkan Sebutharga Menyewa dan Menguruskan Kantin di SK Pulau Bait Semporna untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2019.

Manakala Mohd Nasir melakukan kesalahan sama pada 24 Oktober 2017 di PPD Semporna dengan mengemukan penyata bank palsu bertarikh 30 Jun, 31 Julai dan 31 Ogos 2017 bagi tujuan mendapatkan Sebutharga Menyewa dan Menguruskan Kantin Di Sekolah SK Bubul II Semporna untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2018 hingga 31hb Disember 2019.

Kesemua empat tertuduh yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan salah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rekraj Singh A/L Jaswant Singh tampil mendakwa.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

View Original Article