Empat langkah intervensi mampu tangani isu beras

2 Oct 2023 • 8:19 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan empat langkah intervensi tambahan oleh kerajaan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara mampu menyelesaikan masalah itu yang menjadi keluh kesah rakyat kebelakangan ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang media khas hari ini memaklumkan intervensi itu termasuk meningkatkan pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) ke kawasan luar bandar dan subsidi RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) untuk Sabah dan Sarawak.

Selain itu, semua pembekal akan menggunakan BPI dengan mendapatkan bekalan pada harga borong RM 3,200 (harga pintu gudang) dalam kampit 50 kilogram (kg) serta melancarkan Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (OP BPT).

Di MELAKA, suri rumah Noraini Ismail, 67, berkata langkah kerajaan memperkasa edaran BPT ke kawasan luar bandar termasuk di kedai-kedai runcit menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diharap dapat membantu penduduk tempatan mendapatkan bekalan dengan lebih mudah.

“Kebelakangan ini, kami penduduk kampung memang susah sikit nak dapat beras tempatan. Nasib baik sebelum ini ada beberapa program jualan beras tempatan diadakan oleh pihak berkuasa, jadi dapatlah beli,“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Di NEGERI SEMBILAN, seorang pekerja swasta di Seremban, Hafizal Badri, 38, berkata sebagai pengguna, dia bersetuju pengedaran BPT ditingkatkan di kawasan luar bandar berikutan kesukaran untuk mendapatkan makanan ruji itu yang kekurangan di pasar raya.

“Kedai-kedai runcit pula memang tidak menjual BPT di premis mereka, agak sukar melihat stok BPT ada. Jika di kawasan bandar, orang ramai mempunyai banyak pilihan kerana ada banyak pasar raya. Memang sebelum ini kerajaan laksanakan intervensi BPT tapi ia tidak mencukupi,” katanya.

Di PAHANG, penduduk Kampung Sungai Ular, Kuantan, Badrol Hisham Mohamad, 42, berharap FAMA dapat melakukan pengedaran segera di kawasan terlibat supaya masyarakat dapat membeli beras dengan harga berpatutan.

Sementara itu, pekerja swasta Fairus Mohd, 37, berkata OP BPT yang dilancarkan hari ini diharap dapat menyelesaikan segera masalah berkaitan bekalan beras bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dalam situasi ini.

Di TERENGGANU, seorang penjawat awam, Shahrul Nizam Alias, 44, berkata pemerkasaan edaran beras putih tempatan BPT melalui FAMA dilihat mampu menangani masalah penyelewengan dan penyeludupan dalam kalangan segelintir pemborong atau peniaga tidak bertanggungjawab yang mengambil peluang untuk mengaut keuntungan.

Di SELANGOR, seorang pemilik syarikat beras yang hanya ingin dikenali sebagai Ah Chong, 50, berkata OP BPT akan membuat pemeriksaan menyeluruh rantaian industri termasuk semua kilang-kilang besar dan stor-stor pemborong beras mulai esok, dapat mengenal pasti punca kekurangan beras dalam negara.

“Datang buat pemeriksaan di semua peringkat sama ada mereka yang terlibat buat perkara betul atau tidak kerana secara tidak langsung kita tahu kualiti kerja dan keadaan beras berada di semua rangkaian pengeluaran padi dan beras. Jumpa mana pihak yang buat kerja tidak betul,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, di KEDAH, Tajudin Abu Bakar, 57, dari Jitra berkata langkah intervensi itu menunjukkan kerajaan prihatin terhadap permasalahan rakyat berhubung isu bekalan beras tempatan sekali gus melegakan hati pengguna.

“Baguslah ada langkah intervensi ini, termasuklah operasi beras putih tu, boleh tangani kalau ada bekalan beras tempatan tak cukup di Kedah ini, mungkin kalau ada sesetengah peniaga ambil kesempatan jual harga mahal ataupun mungkin campur beras biasa tapi jual pada harga mahal,“ katanya. -Bernama