
SHAH ALAM, 7 MEI: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, Teluk Intan, hari ini, atas tuduhan secara bersama membunuh seorang lelaki warga emas dalam kejadian samun bersenjatakan parang pada bulan lalu.
S R C Parkash Rao, M V Aligeswaran, T Tiagesan dan K Shanker masing-masing berumur 25 tahun memahami pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka berempat bersama seorang lagi yang masih bebas secara bersama-sama dan mencapai niat bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap N Jeyagoby di sebuah rumah beralamat di Lorong Emas L2/1 Pelan Baru, di sini dalam daerah Hilir Perak antara jam 6 hingga 6.30 pagi 17 April lalu.
Perbuatan itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun namun tidak melebihi 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Naidatul Athirah menetapkan tarikh 13 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Empat lelaki berkenaan ditahan antara 23 hingga 26 April lalu di sekitar Teluk Intan serta Bentong, Pahang susulan kejadian samun bersenjatakan parang yang mengakibatkan kematian mangsa kira-kira seminggu sebelumnya.
Polis turut berjaya mendapatkan semula barang kemas dengan nilai RM8,000 yang disamun dari rumah mangsa.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah susulan libasan senjata tajam dipercayai parang yang mengenai kedua-dua tangan mangsa dengan kejadian berlaku ketika isteri mangsa sedang membuat persiapan sembahyang waktu pagi di rumahnya.
