Empat Lelaki Direman Bantu Siasatan Kes Polis Maut Dirempuh Penjenayah

LocalPolitics
8 Aug 2025 • 5:07 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

ALOR SETAR – Empat lelaki direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung insiden seorang anggota polis maut dirempuh ketika cuba menggagalkan cubaan pecah rumah di Taman Golf, di sini, petang semalam.

Perintah reman sehingga 14 Ogos itu dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi.

Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Anggota JSJ Dirempuh Hingga Maut

Dalam kejadian jam 3.30 petang semalam, mangsa Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah, maut di tempat kejadian selepas dirempuh sebuah kenderaan dipandu suspek.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku susulan maklumat awam berhubung aktiviti mencurigakan di sebuah rumah.

“Lima anggota JSJ digerakkan ke lokasi dan mendapati suspek sedang cuba mencuri peti besi dari dalam rumah. Salah seorang daripada mereka yang memandu sebuah Lexus bertindak melanggar mangsa yang baru keluar dari kenderaan.

“Mangsa dirempuh dan disahkan maut di lokasi,” katanya pada sidang media.

Cubaan Melarikan Diri Gagal

Seorang suspek ditahan di lokasi kejadian manakala tiga lagi melarikan diri dengan kenderaan yang rosak akibat rempuhan. Mereka kemudian mencuri sebuah lagi kenderaan orang awam sebelum ditahan kurang sejam kemudian di Kepala Batas.

Semakan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang banyak – masing-masing 77, 30 dan enam kes melibatkan jenayah pecah rumah dan curi kenderaan, manakala seorang lagi mempunyai dua rekod. – The Malaysian Update