
KULAI: Empat lelaki ditahan di sebuah kedai makan di Jalan Iris 8, di sini malam tadi dipercayai terlibat dengan pergaduhan di sebuah bistro pada awal pagi hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata keempat-empat individu berusia antara 24 dan 28 tahun itu, ditahan pada 11.20 malam.
Beliau berkata penahanan itu dibuat susulan laporan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun yang menyatakan dia bersama empat rakannya diserang suspek ketika sedang minum di bistro berkenaan pada 3 pagi.
“Ketika sedang minum di luar bistro berkenaan, mangsa telah didatangi seorang lelaki dan terus menampar muka rakannya.
“Kemudian datang pula dua kereta yang dinaiki lebih kurang 10 lelaki dan seorang wanita yang bertindak memukul rakan mangsa sehingga cedera ringan di bahagian kepala, tangan dan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Tok siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada mabuk serta perselisihan faham dan hasil semakan mendapati mereka yang ditahan mempunyai rekod jenayah.
Kesemua mereka direman empat hari hingga 14 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. -Bernama

