

KUANTAN - Empat termasuk dua warga emas maut, manakala 13 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di Temerloh pada awal pagi Sabtu.
Kemalangan yang dilaporkan jam 3.26 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), kereta, treler dan trak tunda.
Mangsa yang maut terdiri daripada tiga penumpang MPV jenis Proton Exora dan seorang lagi pemandu trak tunda.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler terbabas sebelum merempuh lori tunda yang sedang mengangkat MPV rosak di tepi jalan.
Menurutnya, akibat rempuhan itu, MPV dinaiki 11 orang dipercayai sekeluarga termasuk lima kanak-kanak itu terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 12 meter.
**media[1888894]**
"Susulan maklumat diterima,11 anggota termasuk dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh bersama jentera ke lokasi untuk operasi menyelamat.
"Komander operasi melaporkan mangsa dari MPV yang terjatuh ke gaung berjaya dibawa naik menggunakan tali dan alat penyelamat," katanya.
Zulfadli berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak kesihatan untuk dihantar menerima rawatan.

