
LAHAD DATU: Empat maut sementara empat lagi cedera dalam kemalangan berasingan di sini dan di Kunak pada Isnin.
Di sini, dua lelaki dan seorang wanita maut manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun parah dalam nahas membabitkan sebuah Toyota Innova dan treler 30 tan di Jalan Dewata, Pondok Ketam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pada 1.25 tengah hari sebelum mengerahkan sembilan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan EMRS ke lokasi.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan mendapati sebuah Toyota Innova dari Lahad Datu menuju Kunak bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.
Impak kuat itu menyebabkan Innova diseret kira-kira 30 meter.
“Empat mangsa didapati tersepit dalam Innova. Pegawai Kementerian Kesihatan mengesahkan pemandunya lelaki berusia 56 tahun, penumpang lelaki berusia 43 tahun serta penumpang wanita berusia 39 tahun meninggal dunia di lokasi. Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun pula cedera parah.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan semua mangsa tersepit dalam kenderaan yang rosak teruk itu,” katanya, menambah pemandu treler dilaporkan tidak cedera.
Kanak-kanak parah itu dikejarkan ke hospital untuk rawatan, manakala tiga mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Di KUNAK, seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max yang mereka naiki terbabas ke dalam jurang sedalam enam meter di Jalan Kunak–Tawau, awal pagi Isnin.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Kunak, Mohamad Omarbatha berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.15 pagi menerusi talian balai.
Difahamkan kenderaan tersebut dalam perjalanan dari Sukau ke Tawau.
Komander Operasi, PBK I Rosman Gari bersama enam anggota bomba ke lokasi kejadian yang jaraknya 21 kilometer dari balai.
Mohamad berkata pasukan tiba pada jam 4.38 pagi dan mendapati kenderaan berada di bawah jurang dengan empat mangsa terperangkap.
“Seorang mangsa dikenal pasti sebagai Herdin Basri disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM), dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tiga lagi mangsa berusia antara 28 hingga 39 tahun mengalami kecederaan. Dua dihantar ke Hospital Kunak sementara seorang lagi ke Hospital Tawau.
Operasi yang turut dibantu oleh pols dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada 6.55 pagi.


