Empat Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Kes Pukul Rakan Sekelas

1 Aug 2025 • 2:40 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Empat Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Kes Pukul Rakan Sekelas

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Polis menahan empat pelajar lelaki berumur 13 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian pukul rakan sekelas di sebuah pusat beli-belah di Kajang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di daerah terbabit pada 12.57 tengah hari, semalam.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 11 pagi pada 30 Julai apabila pengadu dan rakan sekelasnya itu pergi ke pusat beli-belah terbabit untuk berbincang mengenai ketidakpuasan hati rakan sekelas terhadap pengadu.

“Dalam kejadian itu, terdapat video tular memaparkan pengadu dipukul oleh dua pelajar manakala dua lagi rakan mereka (rakan sekelas) merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital berhampiran dan disahkan mengalami kecederaan ringan di muka.

Menurutnya, empat pelajar lelaki terbabit ditahan di sekitar Kajang pada 8.35 malam semalam dan direman selama dua hari hingga esok bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Beliau turut menasihati pelajar agar sentiasa mematuhi peraturan sekolah dan menjauhi sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes Insp Shahrulhasram Ramli melalui talian 017-2530380 atau balai polis berhampiran.

Sumber: BERNAMA