
HO CHI MINH: Polis di Ho Chi Minh City, Vietnam menahan 65 individu, termasuk empat rakyat Malaysia kerana disyaki mengendalikan rangkaian pengedaran dadah yang mencampurkan ubat bius etomidate ke dalam cecair rokok elektronik sebelum menjual produk itu kepada pelanggan tempatan dan warga asing.
Rokok elektronik yang dicampur dengan etomidate dikenali sebagai Kpod yang boleh menyebabkan pengguna bertindak seperti zombi, selain mencetuskan sawan dan episod psikosis.
Mereka yang ditahan terdiri daripada empat rakyat Singapura, empat rakyat Malaysia dan dua rakyat Taiwan, menurut Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Jabatan Polis Ho Chi Minh City.
Polis mengenal pasti rakyat Malaysia, Hoo Jia How, 30 dan rakyat Singapura, Melvin Tan Junjie, 30, sebagai dalang utama sindiket tersebut.
Siasatan bermula pada awal Julai selepas polis mengesan petunjuk mengenai kegiatan sindiket itu.
Selepas beberapa minggu menjalankan pemantauan, polis menyerbu sebuah rumah sewa di Jalan Cong Quynh di Wad Cau Ong Lanh, menahan kedua-dua suspek serta merampas 1,331 kartrij rokok elektronik dan 140 milliliter (ml) cecair yang dicampur etomidate.
Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lagi rakyat Singapura, Oh Jang Fong yang didakwa membekalkan cecair etomidate untuk diisi ke dalam kartrij rokok elektronik.
Polis mendakwa kumpulan itu menyuntik bahan berkenaan ke dalam pod rokok elektronik sebelum mengedarkannya melalui rangkaian pengedar tempatan.
Pod berkenaan dijual kepada pelanggan warga Vietnam dan warga asing, dengan sebahagian pembeli didakwa menjual semula produk itu atau menganjurkan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Serbuan susulan berjaya menumpaskan dua lagi rangkaian pengedaran, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan meningkat kepada 65 orang.
Pihak berkuasa turut merampas hampir 2,000 kartrij rokok elektronik yang dicampur dadah serta 140 ml cecair etomidate.
Etomidate ialah ubat bius yang digunakan dalam bidang perubatan, namun semakin disalahgunakan dengan mencampurkannya ke dalam cecair rokok elektronik. Vietnam mengklasifikasikan bahan itu sebagai narkotik pada awal 2026.
Polis berkata, produk berkenaan dipromosikan dengan dakwaan mengelirukan seperti ‘tidak akan dikesan dalam ujian dadah’ dan ‘bukan narkotik’, sekali gus memberi gambaran palsu bahawa ia selamat digunakan.
Pihak berkuasa memberi amaran sedutan etomidate pada peringkat awal boleh menyebabkan rasa tenang dan euforia, namun turut boleh mengakibatkan mengantuk, gangguan kesedaran, tindak balas yang perlahan serta hilang koordinasi badan.
Dalam kes yang lebih serius, bahan itu boleh menyebabkan sawan, kemurungan pernafasan, tekanan darah rendah dan kematian.-AGENSI
The post Empat rakyat Malaysia ditahan di Vietnam kendali sindiket pengedaran ‘Kpod zombi’ appeared first on Utusan Malaysia.
