Empat Remaja Termasuk Pelajar Sekolah Ditahan Kes Rogol Berkumpulan Di Baling

LocalPolitics
16 Oct 2025 • 2:20 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

BALING – Belum pun reda isu moral dalam kalangan pelajar, empat remaja termasuk tiga pelajar sekolah menengah ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes rogol secara berkumpulan serta penyebaran rakaman lucah yang tular di media sosial.

Laporan Bermula Dari Guru Disiplin

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 53 tahun kira-kira jam 11 pagi, Ahad lalu selepas guru disiplin sekolah memaklumkan mengenai penularan video bogel melibatkan anaknya.

Tangkapan Dilakukan Pada Hari Sama

Bertindak atas maklumat tersebut, polis menahan empat remaja termasuk tiga pelajar dan seorang bekas pelajar sekolah sama pada jam 9.30 malam hari yang sama bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian rogol, termasuk secara berkumpulan antara Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi sekitar kawasan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan & Rampasan Peranti

Tambahnya, semua suspek kini direman selama lima hari bermula tarikh tangkapan bagi membantu siasatan lanjut. Turut dirampas enam telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Disiasat Di Bawah Kanun Keseksaan & Akta Kanak-Kanak

Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol berkumpulan serta di bawah Akta Kanak-Kanak berkaitan penghantaran bahan pornografi melibatkan kanak-kanak.

Peringatan Buat Ibu Bapa

Polis dalam masa sama menasihatkan ibu bapa serta penjaga agar lebih peka terhadap pergerakan dan aktiviti anak-anak, khususnya dalam kalangan remaja bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang. – The Malaysian Update

The post Empat Remaja Termasuk Pelajar Sekolah Ditahan Kes Rogol Berkumpulan Di Baling appeared first on The Malaysian Update.